AM

SDP 2026 DIBUKA, TAWAR GERAN PADANAN HINGGA RM250,000 UNTUK PENGKARYA KREATIF

28/02/2026 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Skim Dana Padanan (SDP) 2026 kini dibuka untuk permohonan hingga 27 Mei tahun ini dengan menawarkan geran hingga RM250,000 setiap permohonan diluluskan bagi menyokong penghasilan karya dalam sektor industri kreatif negara.

Inisiatif di bawah MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) itu adalah sebahagian daripada aspirasi Belanjawan MADANI yang turut melibatkan pelancaran Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) 2026.

MyCreative dalam kenyataan hari ini memaklumkan SDP 2026 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta manakala CEMI menerima peruntukan sebanyak RM10 juta.

“SDP menawarkan geran padanan hingga RM250,000 bagi setiap permohonan yang diluluskan untuk penghasilan karya asli baharu dan atau harta intelek baharu dalam sektor seni persembahan, seni visual, muzik, kandungan kreatif, seni tradisional dan kebudayaan serta seni multidisiplin.

“Permohonan daripada sektor kreatif lain yang disokong MyCreative turut akan dipertimbangkan, tertakluk kepada kriteria dan objektif program,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan SDP bertujuan menyokong pertumbuhan perniagaan dan memperkukuh industri kreatif yang berpotensi memberi impak jangka panjang kepada ekonomi negara.

Bagi CEMI pula, program rebat kewangan itu direka khusus untuk menyokong penganjuran konsert dan acara berskala besar yang melibatkan artis tempatan serta antarabangsa.

“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi acara bertaraf antarabangsa di samping merangsang aktiviti ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan memberi limpahan manfaat kepada industri serta perniagaan tempatan,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, edisi CEMI 2025 berjaya mencatat limpahan ekonomi sebanyak RM39.48 juta melalui penganjuran lapan konsert berskala besar dengan jumlah dana diluluskan sebanyak RM8.96 juta.

Maklumat lanjut dan pendaftaran permohonan SDP boleh dirujuk di www.mycreative.com.my/grants, dan www.mycreative.com.my/CEMI untuk CEMI.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan