EKONOMI

ASEAN PERLU GERAKKAN DANA BOLEH LABUR SENDIRI, WUJUDKAN JUARA KORPORAT GLOBAL - GABENOR BNM

06/03/2026 10:18 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- ASEAN perlu menggerakkan kumpulan dana serantaunya yang besar untuk memenuhi keperluan pelaburan blok ini di samping mewujudkan juara korporat, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata ASEAN mempunyai sumber kewangan yang besar daripada dana pencen sebanyak US$4.4 trilion (US$1 = RM3.94) serta institusi insurans dengan US$5.1 trilion yang boleh dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan serantau.

“Bagaimanapun, mengapa dana ini tidak boleh disalurkan untuk digunakan dalam ASEAN sendiri?, dari segi mewujudkan juara korporat, juara serantau serta memenuhi keperluan pelaburan ASEAN sendiri.

“Ini adalah satu bidang yang saya percaya perlu kita teliti. Di sinilah inisiatif seperti Pelan Induk Pasaran Modal bagi rantau ini menjadi penting, dari segi kita menyelaraskan rangka kerja peraturan dan pengeluaran dan cara untuk meningkatkan kesalinghubungan pasaran modal dalam ASEAN sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi panel bertajuk “ASEAN: Cabaran dan Peluang” di Persidangan Asia pada 2050 anjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Bangkok, Thailand hari ini.

Antara peserta terkemuka lain yang turut hadir pada persidangan itu ialah bekas Gabenor Bank of Thailand, Sethaput Suthiwartnarueput; Felo Pelawat Harvard Center for International Development, Chatib Basri; dan Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Dong He.

Abdul Rasheed berkata halangan bukan tarif (NTB) masih menjadi penghalang utama kepada perdagangan dalam rantau ini, dengan kesan setara harga dianggarkan antara lima hingga tujuh peratus terhadap produk ASEAN, berbanding hanya 0.2 peratus daripada tarif.

“Ada kesan yang besar, NTB menjadi halangan kepada pertumbuhan integrasi semula ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Dong He yang turut senada dengan pandangan Abdul Rasheed berkata ASEAN memerlukan integrasi kewangan yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan kalangan syarikat serantau serta memajukan integrasi ekonomi yang lebih utuh.

Beliau berkata pengukuhan aspek kewangan dalam ekonomi adalah penting jika kalangan syarikat ASEAN mahu berkembang dan bersaing dengan lebih hebat di seluruh rantau ini.

“Pada masa ini, setiap negara mempunyai aset kecairan masing-masing yang mungkin tidak bersepadu di seluruh rantau ini. Ini juga menyukarkan pelabur antarabangsa untuk lebih memahami pasaran ASEAN,” katanya.

Beliau berkata standard yang terselaras di seluruh rantau boleh membantu mengatasi cabaran ini, termasuk merangka peraturan yang lebih bersepadu dan berpotensi bergerak ke arah keperluan penyenaraian yang lebih seragam di pasaran ASEAN.

Dong He turut mengulas mengenai kepentingan digitalisasi dalam mengukuhkan integrasi kewangan serantau.

Beliau berkata platform kewangan digital boleh menyediakan cara baharu untuk menghubungkan pasaran dan memperluas peluang pelaburan, khususnya melalui teknologi baharu yang pesat berkembang meliputi tokenisasi aset, yang boleh mewujudkan saluran baharu perdagangan dan pelaburan di seluruh rantau.

Platform dagangan bersama bagi aset sedemikian boleh meningkatkan skala aktiviti dagangan dan memperkukuh mudah tunai dalam pasaran modal ASEAN, katanya.

“Ini juga akan menjadikan pasaran modal di rantau ini lebih berdaya tahan dan kecairannya lebih kukuh, sekali gus membantu syarikat berkembang dalam ekonomi sebenar.

“Oleh yang demikian, kita juga akan mempunyai integrasi yang jauh lebih sepadu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan