Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun ketidaktentuan global meningkat susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) terus memantau rapat perkembangan yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi negara.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata konflik di Timur Tengah telah meningkatkan ketidaktentuan ekonomi global, dan tempoh serta tahap keterukan konflik itu akan menentukan sejauh mana impaknya terhadap Malaysia.
"Situasi semasa bersifat dinamik dan berubah dengan pantas, dengan pelbagai kemungkinan perkembangan. Namun, Malaysia menghadapi cabaran tersebut daripada kedudukan ekonomi yang kukuh.
“Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia terdedah kepada pelbagai risiko global seperti ini,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai impak konflik tersebut terhadap ekonomi negara.
Beliau berkata BNM sedang memantau secara rapi perkembangan global, termasuk pergerakan harga minyak, potensi gangguan bekalan serta ketidaktentuan dalam pasaran kewangan, dengan penilaian lanjut dijangka diumumkan hujung bulan ini.
Harga minyak mentah dilaporkan meningkat lebih US$10 dalam tempoh lima hari sejak konflik tercetus Sabtu lepas, dengan harga kini berlegar melebihi paras US$80 setong.
“Kita juga mula menyaksikan peningkatan turun naik dalam pasaran kewangan global, dengan banyak mata wang terjejas, termasuk ringgit,” katanya.
Ringgit ditutup pada paras 3.9415/9480 berbanding dolar AS pada Khamis.
Walaupun ketegangan geopolitik meningkat, Abdul Rasheed menegaskan pertumbuhan domestik Malaysia yang kukuh, kadar inflasi sederhana, sistem kewangan mantap serta sektor luaran berdaya tahan akan terus menyokong ekonomi negara.
“Pasaran kadangkala bertindak balas dengan sangat pantas terhadap perubahan sentimen. Mungkin mendapat reaksi jangka pendek. Namun yang lebih penting ialah asas ekonomi jangka panjang negara, yang akhirnya akan dinilai oleh pasaran.
“Justeru, penting untuk kita meneruskan langkah pembaharuan dan memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan,” katanya.
Abdul Rasheed berkata ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, peningkatan eksport elektrik dan elektronik (E&E), serta aktiviti pelancongan yang rancak.
Pemacu pertumbuhan tersebut dijangka berterusan pada 2026, dengan permintaan domestik kekal sebagai tonggak utama pengembangan ekonomi.
Selain itu, pertumbuhan pekerjaan, peningkatan gaji serta langkah dasar kerajaan dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Pada masa sama, aktiviti pelaburan dijangka kekal kukuh, dipacu projek berbilang tahun serta projek baharu berskala kecil yang mampu menjana kesan pengganda kepada ekonomi.
Abdul Rasheed berkata Malaysia juga dijangka terus mendapat manfaat daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) berikutan pembangunan pusat data yang berterusan serta perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Di samping itu, aktiviti pelancongan yang lebih rancak menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka turut menyokong perniagaan tempatan.
Sementara itu, beliau menjangkakan inflasi keseluruhan negara kekal sederhana tahun ini.
Pada 2025, inflasi keseluruhan Malaysia berada pada paras 1.4 peratus manakala inflasi teras 2.0 peratus. Data Januari 2026 pula menunjukkan inflasi keseluruhan pada 1.6 peratus dan inflasi teras 2.3 peratus.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus yang menurut beliau kekal sesuai dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Kami akan terus memantau perkembangan pertumbuhan global dan domestik. Dari segi inflasi global, terdapat kemungkinan kesan daripada harga minyak yang lebih tinggi serta gangguan rantaian bekalan.
“Bagaimanapun, pengukuhan ringgit telah membantu mengurangkan sebahagian impak tersebut. Yang lebih penting, subsidi bersasar yang masih dilaksanakan turut membantu mengekang tekanan inflasi,” katanya.
-- BERNAMA
