AM

BERNAMA SANTUNI PETUGAS BARISAN HADAPAN HKL, KONGSI REZEKI RAMADAN

04/03/2026 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menyantuni petugas barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerusi Program CSR Ramadan Bernama 2026 dengan mengagihkan 1,200 pek makanan kepada warga hospital berkenaan.

Program tanggungjawab sosial korporat bertemakan “Ikhlas Memberi, Tulus Menghargai” itu turut melibatkan penyaluran bantuan kewangan kepada beberapa petugas hospital yang sedang menjalani rawatan perubatan selain sumbangan kepada inisiatif Gerobok Rezeki HKL bagi membantu pesakit dan individu kurang berkemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata inisiatif berkenaan mencerminkan penghargaan agensi berita nasional itu terhadap dedikasi petugas kesihatan yang terus berkhidmat menjaga kesejahteraan rakyat.

“HKL dipilih kerana lokasinya yang paling dekat dengan Bernama dan kita menyedari tugas doktor, jururawat serta petugas kesihatan yang sentiasa memerlukan kesegeraan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Jadi pada Ramadan ini kita cuba meringankan sedikit keperluan mereka dalam mencari atau membeli juadah berbuka dengan memberikan sumbangan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di Dewan Utama HKL di sini.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik iaitu Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, YTL Power International Berhad, My Digital ID Sdn Bhd dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

Turut hadir Pengarah HKL Datuk Dr Harikrishna K.R. Nair, Naib Presiden Komersial YTL Power International Berhad Dominic Hua, Ketua Jabatan Komunikasi Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd Koh Boon Hui, Pegawai Komersial My Digital ID Sdn Bhd Mohamad Sany Yahaya, Ketua Pegawai Perniagaan Pernas Azizam Ramli serta Pengarah Kolej Komuniti Selayang Ahmad Rizal Omar.

Hadir sama Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson serta pengurusan tertinggi Bernama.

Nur-ul Afida berkata sumbangan kewangan sebanyak RM4,000 itu diharap dapat meringankan beban petugas terlibat.

“Kita juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan strategik termasuk Kolej Komuniti yang membantu menyediakan juadah pada hari ini,” katanya.

Pada masa sama, Nur-ul Afida berkata memasuki tahun keempat program itu, Bernama berhasrat mengadakan program seumpama itu pada skala yang lebih besar pada masa hadapan, malah menjelang Syawal ini agensi berita itu meneruskan program tahunan Sepatu Raya bersama anak yatim.

Program CSR Ramadan Bernama dilaksanakan sejak 2023 dengan lokasi pertama di Bazaria Lembah Pantai, diikuti Dataran Putrajaya (2024) dan Kampung Batu Laut, Banting, Selangor (2025).

Sementara itu, Dr Harikrishna berkata program sedemikian membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan warga kerja hospital yang sentiasa komited memberikan standard penjagaan terbaik kepada pesakit selain menjadi pemangkin semangat buat petugas kesihatan.

“Melalui sumbangan untuk disalurkan kepada Gerobok Rezeki HKL, ia sangat membantu memandangkan bukan semua petugas kami daripada golongan berada.

“Usaha murni ini bukan sahaja menyediakan keperluan makanan, tetapi juga memberi impak positif kepada seluruh warga kerja HKL dalam menyempurnakan tugas mereka sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya.

Bagi Azizam, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Bernama yang disifatkan sebagai platform terbaik dalam mengetengahkan peranan agensi itu kepada masyarakat, malah Pernas terus melaksanakan pelbagai program CSR sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Koh berkata Canon gembira dapat menyumbang kembali kepada para petugas barisan hadapan kesihatan di HKL sambil menyifatkan kolaborasi itu sebagai contoh baik kepada organisasi lain untuk berkembang bersama masyarakat serta bekerjasama demi kebaikan bersama.

Ahmad Rizal pula berkata program CSR Ramadan berkenaan amat bermakna kerana memberi peluang kepada pihaknya menyumbang pada bulan mulia itu, selain menyifatkan kerjasama antara pihak terlibat membantu memastikan pelaksanaan program berjalan lebih lancar dan teratur.

Mewakili My Digital ID Sdn Bhd, Mohamad Sany berkata di samping berkongsi rezeki, kolaborasi itu turut memberi ruang kepada syarikat untuk menerangkan dengan lebih teliti tentang penggunaan dan keselamatan My Digital ID kepada orang awam.

“Peluang ini kita manfaatkan untuk mengukuhkan peranan penjawat awam dalam menyokong pelaksanaan identiti digital nasional ini bagi memudahkan urusan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dengan lebih selamat dan efisien,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan