AM

DBKK PANTAU LEBIH 1,000 GERAI BAZAR RAMADAN PASTIKAN PENJAJA PATUH SEMUA ASPEK

04/03/2026 07:59 PM

KOTA KINABALU, 4 Mac -- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa melakukan pemantauan terhadap lebih 1,000 gerai bazar Ramadan di bawah seliaan agensi itu bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan khususnya melibatkan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kawalan harga.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata ia bagi memastikan peniaga menjaga kebersihan makanan termasuk kaedah penyediaan, penutupan bahan jualan dan pemakaian pengendali makanan.

“Dari segi kesihatan, kita akan lihat sama ada makanan ditutup dengan baik, cara penyediaan dan pakaian mereka yang memasak makanan tersebut.

“Kita juga akan pantau supaya tiada peniaga meletakkan harga terlalu tinggi atau menjual makanan yang tidak sepatutnya,” katanya kepada media selepas melawat bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, sambutan orang ramai terhadap bazar Ramadan amat menggalakkan dan secara tidak langsung membantu merancakkan ekonomi bandar serta memberi peluang pendapatan kepada peniaga kecil.

Mengulas mengenai pengurusan sisa, Dr Sabin berkata peniaga diwajibkan membuang sampah ke dalam tong yang disediakan oleh pihak DBKK manakala sebahagian lagi boleh memilih untuk membawa pulang sampah masing-masing.

Beliau berkata pekerja DBKK juga akan mengutip sampah berkenaan tetapi bagi minyak masak terpakai, peniaga perlu menyimpannya di dalam bekas khas sebelum dibawa pulang dan tidak membuangnya ke dalam parit.

“Dari segi pengasingan sampah, DBKK mengasingkan bahan seperti kaca, plastik dan kertas tetapi pendekatan lebih fleksibel diamalkan di kawasan bazar tertentu... namun, peniaga tetap diminta mengasingkan bahan berkenaan bagi memudahkan proses kutipan dan mengelakkan pencemaran daripada sisa makanan basah,” katanya.

Dr Sabin juga berkata setakat ini, DBKK belum memiliki data lengkap jumlah sisa harian yang dikumpul namun maklum balas awal daripada peniaga menunjukkan perniagaan mereka mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan