KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Penutupan sementara atau sekatan di Selat Hormuz dijangka menghadkan bekalan sekali gus meningkatkan harga minyak mentah global dan gas asli cecair (LNG), kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.
Beliau berkata sebarang penutupan laluan penting bagi pengangkutan untuk menghantar sumber tenaga (minyak dan gas) akan menimbulkan risiko ketara, ia perlu dipantau oleh pemain industri dengan teliti kerana boleh meningkatkan premium risiko ke atas import tenaga dan seterusnya membebankan rantaian bekalan global.
“Kita telah menyaksikan harga minyak melonjak dengan mendadak disebabkan pasaran menjadi faktor dalam potensi gangguan bekalan dan ini penting bagi kita di Malaysia kerana LNG, diimport Malaysia dari Australia dan pembekal lain, berkait rapat dengan harga minyak global.
“Justeru, sebarang kenaikan mendadak boleh menjejaskan kos tenaga perindustrian, penjanaan elektrik dan perbelanjaan bahan api isi rumah,” katanya dalam ucapan pada sesi pleno Forum Ketua Pergawai Eksekutif (CEO) OGSE100 2026 di sini hari ini.
OGSE100 memperkenalkan edisi terkini penerbitan utama Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) yang menjejaki prestasi kewangan industri perkhidmatan minyak dan gas serta peralatan (OGSE) Malaysia dan menyenaraikan 100 syarikat teratasnya berdasarkan pendapatan.
Laporan itu menunjukkan industri OGSE mencatatkan pendapatan rekod sebanyak RM94.5 bilion pada tahun kewangan 2024, tertinggi sejak MPRC mula menjejaki sektor berkenaan pada tahun 2013 dengan mencatatkan rekod sejak 2005, keuntungan sebelum cukai menokok 95 peratus kepada RM9.4 bilion.
Akmal berkata konflik Timur Tengah yang berlanjutan menambah ketidakpastian kepada kos bahan api, harga elektrik dan keselamatan tenaga secara keseluruhan untuk perniagaan Malaysia dan sektor tenaga.
“Itulah sebabnya penting untuk mempelbagaikan sumber tenaga kita, memperkukuh kapasiti penjanaan domestik dan mempercepatkan teknologi boleh baharu dan peralihan,” katanya.
Beliau berkata keselamatan tenaga tidak dapat dipisahkan daripada daya tahan ekonomi.
“Ketika ini, ia adalah mengenai penyediaan sistem yang dapat mengekalkan bekalan tenaga boleh dipercayai, harga berpatutan dan stabil walaupun dalam persekitaran turun naik global dan senario harga minyak tinggi,” katanya.
Setakat 10.19 pagi, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 0.98 peratus kepada AS$78.61 setong.
-- BERNAMA
