KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Rystad Energy menjangkakan kejutan bekalan semasa hanya memberi kesan jangka panjang yang terhad ke atas pasaran gas dan gas asli cecair (LNG) global, walaupun berlaku kenaikan lebih 52 peratus pada penanda aras komoditi itu di Title Transfer Facility, pada 2 Mac, 2026.
Syarikat perisikan perniagaan dan penyelidikan tenaga bebas itu dalam satu kenyataan berkata unjuran ini berasaskan jangkaan bahawa gangguan berkenaan bersifat sementara dan boleh dikendalikan dari segi jumlah.
Harga gas asli meningkat lebih 40 peratus berikutan keputusan QatarEnergy untuk menghentikan pengeluaran LNG, ditambah pula dengan operasi yang terhenti melalui Selat Hormuz, sekali gus mengurangkan jumlah yang agak besar daripada pasaran global apabila konflik di Timur Tengah semakin memuncak.
Penganalisis Kanan Penyelidikan LNG dan Gas Rystad Energy Jan-Eric Fahnrich berkata dengan pengeluaran LNG Qatar dihentikan dan Selat Hormuz ditutup, bekalan LNG global dijangka menyusut dengan ketara, satu trend yang dicerminkan dalam pergerakan harga baru-baru ini.
Beliau berkata tahap jumlah kerugian bergantung kepada sejauh mana kerosakan infrastruktur, yang masih dalam penilaian dan tempoh masa penutupan Selat Hormuz itu kepada trafik maritim.
“Dalam senario di mana kerosakan terhad atau tiada langsung dan permusuhan mereda dengan cepat, yang membawa kepada pengeluaran dihentikan selama 15 hari, kami menganggarkan penurunan 4.3 peratus dalam pengeluaran 2026, bersamaan kira-kira 3.3 juta tan (mt).”
“Sekiranya gangguan lebih lama, ia boleh mengakibatkan kehilangan bekalan sebanyak 5.6 juta tan, manakala gangguan sepenuhnya selama empat hingga lima minggu sebelum selat itu dibuka semula kepada trafik komersial akan membawa kepada kehilangan sebanyak 11.2 juta tan bagi keseluruhan 2026,” katanya.
Fahnrich juga berkata memandangkan peranan penting eksport LNG dalam ekonomi Qatar dan aliran perdagangan global, beliau menjangkakan pengeluaran akan dipulihkan dalam beberapa minggu dan bukannya berbulan-bulan.
Sekiranya senario terburuk berlaku, pengeluar yang oportunis boleh membawa masuk sehingga 15 juta tan LNG tambahan ke pasaran, manakala penyepaduan semula LNG Rusia boleh menyumbang lagi 18 juta tan.
Beliau menambah negara yang paling terjejas adalah terutamanya ekonomi membangun yang sensitif terhadap harga, cenderung mencari alternatif melalui pertukaran bahan api — mengutamakan arang batu terma berbanding produk minyak yang turut terjejas — daripada terlibat dalam perang bidaan harga.
-- BERNAMA
