EKONOMI

PINJAMAN BNPL DIJANGKA KEKAL 0.3 PERATUS DARIPADA JUMLAH KEBERHUTANGAN ISI RUMAH - MOF

02/03/2026 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Risiko melibatkan pinjaman pengguna skim "Beli Sekarang, Bayar Kemudian" (BNPL) masih lagi di tahap terkawal dan dijangka kekal 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia, kata Kementerian Kewangan (MOF). 

Setakat 31 Dis, 2025, kata kementerian itu, jumlah pinjaman adalah sebanyak RM4.9 billion dan pinjaman BNPL yang tidak berbayar adalah terkawal iaitu RM160.2 juta atau 3.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL. 

"Angka ini mencerminkan beban hutang pengguna BNPL adalah terurus," kata MOF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pemegang akaun BNPL yang meningkat dan langkah yang diambil kerajaan bagi memantau pemegang akaun BNPL.

Menurut MOF, pada akhir 2025, pengguna skim BNPL meningkat daripada 2.6 juta pada 2023 kepada 7.5 juta pada akhir tahun 2025. 

Dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna dan memastikan pemberian kredit yang bertanggungjawab, ia berkata kerajaan memperkenalkan pengawalseliaan ke atas perniagaan kredit termasuk syarikat BNPL melalui pewartaan Akta Kredit Pengguna 2025 [Akta 873] yang akan dikuatkuasakan pada tahun ini. 

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan