PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Sistem aplikasi MyTax Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang mengalami gangguan teknikal menyebabkannya tidak dapat diakses oleh pembayar cukai buat sementara waktu.
LHDN dalam hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan pihaknya sedang mengambil tindakan segera bagi memulihkan perkhidmatan agar dapat beroperasi seperti biasa.
“Segala kesulitan amat dikesali," menurut LHDN hari ini.
Portal MyTax ialah platform digital rasmi yang dibangunkan oleh LHDN untuk memudahkan urusan cukai rakyat Malaysia.
Portal itu menghimpunkan pelbagai perkhidmatan cukai secara dalam talian di bawah satu portal tunggal bagi meningkatkan akses, ketelusan, serta kecekapan sistem percukaian negara.
Antara fungsi utama ialah perkhidmatan e-filing, yang membolehkan pembayar cukai mengisi dan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan secara dalam talian.
Sementara itu, beberapa pengguna memaklumkan mereka tidak dapat log masuk ke sistem sejak pagi, dipercayai akibat peningkatan jumlah akses serentak ke portal berkenaan.
Pekerja swasta Nurul Nadia Izmir, 39, berkata dia mengalami kesukaran untuk mengakses ke portal berkenaan pada waktu pagi dan hanya berjaya melakukannya selepas pukul 5 petang.
"Semalam, dari pagi sampai ke petang, saya percaya trafik di laman web agak tinggi, tak boleh masuk. Lepas pukul 5 petang baru boleh masuk, baru boleh buat (e-filing)," katanya kepada Bernama.
Pembayar cukai individu dan selain individu boleh mengemukakan Borang Nyata bagi Tahun Saraan 2025 dan Tahun Taksiran 2025 mulai semalam menerusi perkhidmatan dalam talian atau e-Filing melalui portal MyTax.
-- BERNAMA
