KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada awal sesi dengan indeks utama itu merosot lebih satu peratus, sejajar prestasi kebanyakan pasaran serantau berikutan sentimen penghindaran risiko susulan perkembangan konflik di Timur Tengah.
Pada 9.20 pagi, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 20.10 mata atau 1.17 peratus kepada 1,696.51 daripada paras 1,716.61 ketika ditutup pada Jumaat lepas, selepas dibuka 27.97 mata lebih rendah pada 1,688.64.
Sentimen pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 778 berbanding 150, manakala 233 kaunter tidak berubah. Sebanyak 1,464 kaunter tidak diniagakan dan 23 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 718.25 juta saham bernilai RM514.99 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen penghindaran risiko semakin meningkat susulan insiden terkini di Timur Tengah dan menjangkakan pasaran global mengalami pembetulan dalam tempoh terdekat.
Firma pembrokeran itu berkata pihaknya sebelum ini melihat penglibatan Washington dengan Venezuela pada Januari sebagai faktor yang dapat meredakan risiko bekalan minyak.
“Peningkatan ketegangan geopolitik sejak itu telah mendorong harga minyak mentah lebih tinggi, sekali gus memberi manfaat kepada pemain huluan minyak dan gas.
“Perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia mungkin menyokong sektor perbankan dan REIT, manakala jangkaan hasil dividen yang munasabah dijangka menjadi penampan terhadap volatiliti jangka pendek,” menurut nota penyelidikannya hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal naik enam sen kepada RM7.19, manakala Maybank susut 32 sen kepada RM11.64, Public Bank turun 12 sen kepada RM4.81, CIMB berkurangan 11 sen kepada RM7.93 dan Hong Leong Bank merosot 26 sen kepada RM23.02.
Bagi saham paling aktif, Bumi Armada meningkat 2.0 sen kepada 33.5 sen, TWL Holdings tidak berubah pada 2.5 sen, Pharmaniaga susut 1.0 sen kepada 28.5 sen dan Widad turun setengah sen kepada 1.0 sen.
Saham paling untung termasuk Petronas Dagangan, meningkat 58 sen kepada RM22.56; Petronas Gas naik 26 sen kepada RM18.22; Hibiscus Petroleum menokok 24 sen kepada RM1.84; Petronas Chemicals bertambah 18 sen kepada RM3.18; dan Vstecs meningkat 17 sen kepada RM4.65.
Saham paling rugi, Nestle, merosot RM2.90 kepada RM107; Fraser & Neave susut RM1.24 kepada RM33.70; Malaysian Pacific Industries turun 72 sen kepada RM21.24; Dutch Lady berkurangan 70 sen kepada RM31.62; dan PPB susut 24 sen kepada RM10.64.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 turun 142.70 mata kepada 12,291.12, Indeks FBM Emas merosot 142.56 mata kepada 12,468.87, Indeks FBM 70 susut 188.26 mata kepada 17,354.21, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 76.39 mata kepada 12,141.17 dan Indeks FBM ACE merosot 105 mata kepada 4,615.25.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 411.40 mata kepada 20,670.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.01 mata kepada 170.82, Indeks Tenaga meningkat 19.61 mata kepada 773.35 dan Indeks Perladangan merosot 64.83 mata kepada 8,204.74.
-- BERNAMA
