JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM WAJAR DIBERI AUTONOMI PENUH, PULIH KEYAKINAN RAKYAT - SENATOR

26/02/2026 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diberikan autonomi penuh berserta sumber kewangan dan kepakaran tanpa had agar ia dapat menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih, demikian cadangan seorang Ahli Dewan Negara.

Senator Amir Md Ghazali ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini berkata kebebasan institusi adalah prasyarat utama bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan negara.

Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan mahkamah khas rasuah yang dikendalikan hakim pakar serta jadual perbicaraan dipercepatkan supaya kes diselesaikan dalam tempoh maksimum 18 bulan.

“Audit bebas juga perlu dilaksanakan terhadap semua projek kerajaan yang bernilai lebih RM50 juta dengan laporan awam berkala dan memberi perlindungan penuh kepada pemberi maklumat (whistleblower) dengan ganjaran dan jaminan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Senator Datuk Rosni Sohar menyifatkan rasuah adalah “barah” yang melemahkan institusi dan merosakkan ketamadunan bangsa, sekali gus berpotensi menggugat agenda pembangunan ekonomi Kerajaan MADANI.

Sehubungan dengan itu, beliau menyambut baik cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia yang bakal membentangkan rang undang-undang di Parlimen tahun ini.

“Ombudsman itu dijangka menggabungkan fungsi Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai badan bebas yang lebih kukuh. Model ini terbukti berkesan di negara seperti Sweden, Singapura dan Korea Selatan dalam memantau tatacara penguatkuasaan dan menutup ruang kelemahan prosedur sebelum disalahgunakan,” katanya.

Senator Che Alias Hamid pula berkata teguran Yang di-Pertuan Agong berhubung isu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini bukan sekadar peringatan biasa, sebaliknya mesej tegas bahawa keselamatan negara tidak boleh dikompromi oleh budaya rasuah.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend penyelesaian kes rasuah berskala besar yang diselesaikan sekadar melalui denda kewangan dan bukannya pendakwaan jenayah, sebagaimana dibangkitkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M).

Che Alias berkata sikap berat sebelah atau 'double standard' tidak boleh dibenarkan berlaku apabila golongan yang maha kaya kebal dengan liabiliti jenayah. 

“Jika dibiarkan tanpa kawalan, pemikiran ini akan menginstitusikan budaya ‘bayar untuk selesai’ yang akhirnya akan memusnahkan kedaulatan undang-undang negara kita secara mutlak,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung pada Isnin.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan