KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Masyarakat disaran menggunakan istilah “budaya songsang” bagi menggantikan rujukan terhadap komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) bagi mengelak normalisasi serta mengekang peluasan algoritma kandungan berkenaan di platform media sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata langkah itu juga bertujuan memastikan penggunaan istilah yang selaras dalam pengucapan dan penulisan, sekali gus mengelakkan budaya tersebut dipromosikan secara tidak langsung.
"Apabila semakin banyak kita sebut, tulis dan nyatakan di mana-mana (istilah LGBT), ia akan menyebabkan semakin banyak kandungan pop-out keluar tentang perkara ini. Secara tidak sedar, kita seolah-olah sedang mempromosikan budaya songsang tersebut," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail tentang status terkini pemantauan terhadap penganjuran program tertutup berunsurkan LGBT seperti Glamping with Pride serta pendekatan dakwah dan bimbingan yang dilaksanakan.
Berhubung program Glamping with Pride yang tular dalam media sosial awal tahun ini, Marhamah berkata acara itu telah dibatalkan dan pihak berkuasa negeri Selangor mengesahkan tiada sebarang permit diberikan kepada penganjur.
Berkenaan kawal selia kandungan, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui unit penyelidikannya sentiasa memantau pengisian media sosial yang menyentuh isu budaya songsang serta ajaran sesat.
Marhamah berkata unit itu bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melaporkan dan meminta penurunan pautan atau kandungan yang dikesan melanggar peruntukan undang-undang dan nilai agama.
-- BERNAMA
