SEOUL, 25 Feb (Bernama-Yonhap) -- Sebuah pesawat pejuang F-16C terhempas berhampiran Yeongju di Wilayah Gyeongsang Utara pada Rabu, namun juruterbangnya berjaya melenting keluar dengan selamat, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik Tentera Udara Korea Selatan.
Pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Chungju itu terhempas di kawasan pergunungan berhampiran Yeongju kira-kira 7.31 malam waktu tempatan ketika menjalani latihan penerbangan waktu malam.
“Juruterbang berjaya melenting keluar dengan selamat dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan, dan setakat ini tiada kerosakan awam dilaporkan,” menurut kenyataan Tentera Udara dalam mesej teks kepada wartawan.
Tentera Udara memaklumkan yang satu pasukan petugas ditubuhkan bagi mengenal pasti punca nahas.
--BERNAMA-YONHAP
