KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang memuktamadkan rangka kerja bagi menjelaskan skop dan kehendak pelesenan bagi aktiviti skim amanah tunai yang melibatkan pelaburan dalam produk pasaran modal, kata Kementerian Kewangan (MOF).
MOF berkata rangka kerja ini akan memastikan pelaksanaan rangka kerja yang lebih jelas dan berkesan bagi mengawal selia aktiviti skim Amanah Tunai yang melibatkan produk pasaran modal.
“Rangka kerja berkaitan Amanah Tunai ini akan diperkenalkan dalam masa terdekat,” kementerian itu berkata melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu mengenai isu Amanah Tunai yang didakwa gagal melunaskan pembayaran sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada mangsa.
Pada masa yang sama, kementerian itu berkata SC sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa lagi syarikat amanah yang disyaki menjalankan aktiviti terkawal pasaran modal tanpa lesen.
Bagaimanapun, katanya, butiran berkenaan tidak dapat didedahkan memandangkan kes ini sedang di dalam siasatan, tambahnya.
Berkuat kuasa 1 Jan, 2026, melalui pindaan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), SC mempunyai kuasa untuk menentukan jenis syarikat amanah dan aktiviti terkawal yang tidak memerlukan lesen daripada agensi berkenaan.
-- BERNAMA
