AM

TIADA KLUSTER TIBI DI PERAK, INDIVIDU BERGEJALA ELAK TEMPAT SESAK - PENGARAH KESIHATAN

24/02/2026 09:29 PM

KAMPAR, 24 Feb (Bernama) -- Tiada kluster tuberkulosis (tibi) dikesan di Perak setakat ini, namun mereka yang bergejala serta berisiko dinasihatkan supaya tidak berada di tempat sesak terutamanya bazar Ramadan.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata berdasarkan maklumat semasa, Perak mencatat antara kadar jangkitan tibi paling rendah berbanding negeri lain.

“Jadi mesej pertama saya, kalau ada gejala batuk yang berpanjangan, tak semestinya ada kahak berdarah, mohon datang melaksanakan pemeriksaan baik di Klinik Kesihatan kerajaan mahupun di klinik swasta.

“Ini kerana penyakit berkenaan adalah penyakit yang wajib dinotifikasikan oleh pengamal perubatan. Untuk tindakan susulan memang jadi tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM), manakala individu yang berisiko seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit paru-paru dan warga emas lebih penting untuk hadir mendapatkan pemeriksaan awal jika simptom berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Operasi Ramadan Peringkat Negeri Perak dan Kempen “Back to Bekas” di Tapak Bazar Ramadan Dataran Bandar Baru Kampar, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri Datuk A Sivanesan. 

Dr. Feisul berkata mereka yang mempunyai gejala dan gologan yang berisiko dinasihatkan supaya mengurangkan pendedahan di kawasan sesak seperti bazar Ramadan dan jika perlu hendaklah memakai penutup muka, selain mengehadkan tempoh berada di tempat yang padat dengan orang ramai.

“(Tindakan) ini lebih untuk melindungi, kalau kita ada gejala jangan merebakkan pada orang lain, bukan tibi sahaja tetapi apa-apa jangkitan paru-paru, pada masa sama ia untuk mengurangkan kemungkinan.

“Berbanding COVID-19 ataupun influenza, penyakit tibi tidak dia punya kadar jangkitan semudah dua penyakit berkenaan,  walau bagaimanapun jika dikesan awal rawatan memang berkesan,” katanya.

Sementara itu, Sivanesan berkata JKN Perak melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), serta kerjasama pelbagai agensi telah memulakan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan, termasuk di bazar Ramadan.

Beliau berkata sepanjang lima hari Ramadan, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan keracunan makanan daripada mana-mana individu yang membeli makanan di bazar Ramadan sekitar Perak.

“Selain itu, sepanjang Jan hingga Feb tahun ini sebanyak 775 premis termasuk di bazar Ramadan, telah diperiksa manakala sejumlah 99 ujian persampelan mikrobiologi, kimia dan fizikal telah dijalankan.

“Jabatan juga menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil perhatian dan mengamalkan konsep 'Sama-Sama Perhati dan Pilih’ antaranya membeli makanan daripada premis dan persekitaran bersih serta dari peniaga atau penjual yang mengamalkan pengendalian makanan yang bersih,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan