DUNIA

WISMA PUTRA PANTAU RAPI SITUASI DI MEXICO

24/02/2026 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Luar, menerusi Kedutaan Malaysia di Mexico City, memantau rapi situasi keselamatan tidak menentu di Mexico.

Menurut Wisma Putra, kedutaan telah mengeluarkan nasihat menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke Mexico supaya terus berwaspada, berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga pada setiap masa, terutamanya di kawasan di mana operasi keselamatan dijalankan.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Keutamaan kementerian ialah keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara," menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut kedutaan itu, tiada rakyat Malaysia terlibat atau terjejas dengan insiden tersebut.

Kementerian Luar memaklumkan akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk mendapatkan kemas kini tepat pada masanya, selain koordinasi rapat dengan kedutaan.

Rakyat Malaysia di Mexico yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi kedutaan melalui telefon atau WhatsApp di +6016-8100579 atau (52-155) 20808355, atau melalui e-mel di mwmexico@kln.gov.my.

Menurut laporan media, gelombang keganasan telah berlaku di beberapa negeri di seluruh Mexico berikutan operasi keselamatan baru-baru ini oleh pihak berkuasa tempatan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan