DUNIA

AHLI PARLIMEN BAHARU, ANGGOTA KABINET BANGLADESH ANGKAT SUMPAH SELASA

15/02/2026 10:33 AM

DHAKA, 15 Feb (Bernama-UNB) -- Ahli Parlimen (MP) yang baru dipilih akan mengangkat sumpah pada pagi Selasa, manakala anggota Kabinet baharu pula akan menyusul pada sebelah petang, lapor United News of Bangladesh (UNB).

Ahli Parlimen yang baru dipilih dijadualkan mengangkat sumpah di hadapan Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya AMM Nasir Uddin pada 10 pagi di Parlimen, menurut kenyataan Setiausaha Akhbar Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) Tarique Rahman, Saleh Shibly kepada UNB pada malam Sabtu.

Beliau menambah bahawa anggota Kabinet baharu pula akan mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mohammed Shahabuddin pada 4 petang di Dataran Selatan Parlimen.

Mengikut peraturan, selepas majlis angkat sumpah Ahli Parlimen selesai, mesyuarat Lembaga Parlimen bagi parti yang memperoleh majoriti akan diadakan untuk memilih ketua parlimennya.

Ketua parti tersebut kemudiannya akan menghadap Presiden untuk memaklumkan bahawa parti berkenaan memiliki majoriti mutlak di Parlimen, sekali gus memohon pelantikan secara rasmi sebagai ketua kerajaan.

Presiden akan melantik ketua parti tersebut sebagai Perdana Menteri, yang seterusnya akan memilih barisan anggota Kabinetnya.

Majlis angkat sumpah akan dimulakan dengan Perdana Menteri, diikuti oleh menteri, menteri negeri dan timbalan menteri.

Selepas upacara tersebut selesai, Bahagian Kabinet akan mengeluarkan pemberitahuan rasmi mengenai pengagihan portfolio masing-masing.

Persediaan untuk majlis tersebut kini sedang giat dijalankan, menurut Setiausaha Kabinet Sheikh Abdur Rashid kepada pemberita di Sekretariat pada Sabtu.

“Kira-kira 1,000 tetamu dijangka akan dijemput ke majlis tersebut,” katanya.

Pilihan raya kebangsaan ke-13 telah diadakan pada Khamis, serentak dengan satu referendum. Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berjaya memperoleh 209 kerusi parlimen dalam pilihan raya berkenaan.

-- BERNAMA-UNB

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan