KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Sebanyak 16 Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan terhadap gesaan Ketua Whip Dewan Rakyat Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden parti itu dengan segera.
Dalam kenyataan bersama, 16 Ahli Parlimen itu memaklumkan mereka tidak menafikan jasa dan sumbangan Muhyiddin sebelum ini, namun mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin ke arah kemenangan.
"Kami yakin bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin (Timbalan Presiden Bersatu) mampu menjadi Pemangku Presiden yang baik,” menurut kenyataan itu.
Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan itu adalah Ahli Parlimen Kangar Zikri Hassan, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).
Turut terlibat Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid, Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Kalam Salan (Sabak Bernam), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Islahuddin Abas (Mersing).
Saifuddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan kesahihan kenyataan yang memaklumkan mengenai sokongan itu.
Terdahulu, kenyataan media itu turut dimuat naik Saifuddin di akaun media sosial miliknya hari ini.
Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu dalam kenyataan medianya 10 Feb lepas menggesa Muhyiddin meletak jawatan sebagai presiden parti.
Ahli Parlimen Beluran itu menjadi pemimpin kanan pertama yang secara terbuka meminta Muhyiddin melepaskan jawatan tertinggi Bersatu.
-- BERNAMA
