EKONOMI

ALLIANZ MALAYSIA DIIKTIRAF, DIMASUKKAN DALAM SENARAI PILIHAN ESG 2025

13/02/2026 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Allianz Malaysia Bhd (Allianz Malaysia) mencatat pencapaian apabila disenaraikan dalam Senarai Pilihan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) 2025 Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB).

Kumpulan perkhidmatan insurans dan kewangan itu dalam kenyataan hari ini, menyifatkan pengiktirafan berkenaan memaparkan kemajuan boleh diukur dalam usaha penerapan prinsip-prinsip ESG di segenap operasi sebagai sebuah penanggung insurans diyakini di negara ini.

“Senarai Pilihan ESG itu mengetengahkan organisasi yang memaparkan kemajuan berwibawa dan berstruktur dalam memajukan kemampanan dan selaras dengan 10 Prinsip Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Matlamat Pembangunan Mampan pertubuhan itu,” demikian menurut kumpulan itu.

Allianz Malaysia menjadi penerima “3-Star Lister” atau 3 Bintang dengan pengiktirafannya merentasi kategori utama termasuk Inovasi Penembusan ESG, Perkongsian Berteraskan Matlamat dan Penetapan Sasaran ESG North Star yang menekankan pendekatan kemampanan jangka panjang berteraskan hasilnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sean Wang berkata kepercayaan menjadi teras industri insurans manakala kemampanan menjadi tunjang bagi pendekatan Allianz Malaysia menjalankan perniagaan selain penciptaan nilai yang berkekalan.

“Pemilihan kami dalam Senarai Pilihan ESG 2025 itu turut menggambarkan komitmen kolektif warga kami dalam menyepadukan amalan bertanggungjawab dalam strategi, operasi serta budaya.

“Di sebalik rasa besar hati dan keterujaan dengan pengiktirafan ini, kami turut melihatnya sebagai satu motivasi untuk terus meningkatkan lagi penanda aras serta menyumbang secara bermakna kepada masa depan lebih berdaya tahan serta inklusif,” katanya.

Inisiatif ESG Allianz Malaysia itu menumpukan aspek tindakan iklim, penyelesaian insurans yang terangkum, amalan perniagaan bertanggungjawab, kesejahteraan pekerja dan pemerkasaan komuniti, sekali gus mengukuhkan peranan sebagai rakan jangka panjang untuk kalangan pelanggan dan masyarakat.

Senarai Pilihan ESG itu merupakan rangka kerja pengiktirafan kemampanan oleh UNGCMYB yang diwujudkan khusus bagi menyerlahkan organisasi yang mempamerkan kemajuan serta kebertanggungjawaban dalam perjalanan ESG masing-masing.

“Pemilihan ini tidak hanya menjadi pengesahan atau dari sudut pensijilan, sebaliknya dapat menggalakkan ketelusan, penambahbaikan berterusan selain tindakan secara kolektif,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan