KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Gamuda Land, anak syarikat hartanah Gamuda Bhd mahu Malaysia kekal sebagai pasaran teras dalam portfolio yang pelbagai di peringkat global sementara terus memperkukuh jejak serantau di Malaysia, Vietnam, Singapura, Australia dan United Kingdom.
Ketua Pegawai Operasinya Jess Teng berkata kumpulan itu menegaskan komitmennya terhadap pelaksanaan yang berdisiplin dan pertumbuhan yang bertanggungjawab selain menekankan mengenai peluasan yang mampan serta mesti disokong oleh asas yang kukuh.
Selain itu, katanya, pihaknya mahu keterlihatan pendapatan yang jelas selain kerjasama bermakna dan ia dapat menterjemahkan strategi ke dalam hasil yang dapat dilihat.
"Sebagai pemaju serantau, Gamuda Land kekal memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pertumbuhan yang seimbang di seluruh pasaran, disokong oleh portfolio yang pelbagai dan saluran pembangunan yang kukuh.
"Kumpulan ini berharap untuk mempertingkatkan kerjasama dengan rakan kerjasama yang sehaluan ketika ia terus membina komuniti yang terangkum, tahan lasak dan berdaya huni untuk masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bersempena dengan kempen jualan ‘Money Mari Home’ yang sedang berlangsung di seluruh kumpulan dan ulang tahun ke-50 Gamuda Bhd, Gamuda Land menganjurkan Majlis Makan Malam Penghargaan Rakan Kerjasama GL Gamuda Land pada 12 Februari.
Makan malam itu menyatukan rakan kerjasama perbankan utama, wakil media dan rakan usaha sama perniagaan dalam satu perayaan yang mengetengahkan kerjasama, kemajuan dan matlamat.
Menurut kenyataan tersebut, inisiatif ‘Money Mari Home’ direka untuk mempermudah halangan kewangan selain menyokong pemilikan rumah di tengah-tengah tekanan kemampuan pembelian yang berterusan.
Ini berikutan peningkatan kos sara hidup dan aliran tunai isi rumah yang semakin terhad terutamanya dalam kalangan pembeli pertama kali dalam segmen M40.
Gamuda Land berkata, melalui kerjasama rapat dengan rakan kerjasama perbankannya, inisiatif ‘Money Mari Home’ menyediakan mekanisme sokongan kewangan yang disasarkan termasuk pembiayaan pinjaman sehingga 100 peratus.
Selain itu, subsidi ansuran bulanan sehingga 50 peratus untuk 30 bulan dan Pelan Ansuran Tertangguh selama 60 bulan yang bertujuan untuk meringankan beban pada tahun-tahun awal pemilikan rumah.
Gamuda Land berkata, majlis makan malam berkenaan juga menjadi satu ekspresi penghargaan kepada rakan kerjasama yang memainkan peranan dalam memajukan kempen ini.
Selain itu ia menekankan pentingnya kerjasama ekosistem yang kukuh dalam menyediakan penyelesaian yang praktikal dan responsif terhadap pasaran yang mencipta nilai mampan untuk pembeli rumah.
-- BERNAMA
