KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Semua ahli Bersatu diberi peringatan tegas supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk perjumpaan dan perhimpunan yang dianjurkan oleh individu yang telah dipecat oleh Lembaga Disiplin parti berkenaan.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata menjadi satu kesalahan bagi mana-mana ahli yang bersekongkol dengan individu atau pihak yang bertindak bertentangan dengan Perlembagaan parti serta mengeluarkan kata-kata kesat yang mencemarkan nama baik dan maruah parti.
“Lembaga Disiplin telah memutuskan bahawa (Timbalan Presiden Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa individu dipecat hak keahlian di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa hari ini kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
“Menurut Fasal 9.1.1, setiap ahli mempunyai tanggungjawab mendukung matlamat dan tujuan parti serta melaksanakan dasar parti, manakala Fasal 9.1.4 menegaskan setiap ahli wajib mematuhi Perlembagaan parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata sebarang pelanggaran terhadap perkara itu boleh dikenakan tindakan disiplin seperti termaktub dalam Fasal 22.1 Perlembagaan parti.
“Saya mohon kerjasama semua pimpinan dan ahli parti untuk menjunjung Perlembagaan parti dan mencintai Bersatu sebagai wahana inklusif, progresif demi masa depan umat dan negara Malaysia yang tercinta,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Azmin dalam kenyataan memaklumkan Hamzah dipecat hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana tindakan Ahli Parlimen Larut tersebut melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti berkenaan.
Lembaga Disiplin yang bersidang semalam memutuskan untuk memecat lima lagi ahli berkuat kuasa hari ini.
-- BERNAMA
