JENAYAH & MAHKAMAH

PEMILIKAN SAHAM: AZAM BAKI BERSEDIA SEPENUHNYA UNTUK DISIASAT

13/02/2026 09:53 AM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bersedia sepenuhnya untuk disiasat mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti perkara berkaitan pemilihan sahamnya.

Beliau berkata tiada perkara untuk disembunyikan dan semua pengisytiharan kewangan serta harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa melalui saluran rasmi ditetapkan.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan saham saya.

“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam berkata pendekatan keterbukaan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti beliau, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi penguatkuasaan.

Beliau berkata sebagai penjawat awam dan ketua kepada agensi penguat kuasa, mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan, sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.

“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya.

Azam berkata SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan dikemukakan mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta diperoleh melalui proses siasatan yang sah.

“Tiada siapa berada di atas undang-undang, dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” katanya.

Beliau berkata sepanjang perkhidmatan, beliau kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang serta akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara berkenaan.

“Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan