AM

AZAM BAKI NAFI MILIKI SEBARANG SAHAM, AKAUN DAGANGAN KINI KOSONG

11/02/2026 08:34 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa beliau telah melupuskan semua sahamnya dan kini tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.

Beliau berkata semua urus niaga sahamnya sebelum ini dijalankan secara telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan

“Saya kini tidak mempunyai seunit pun saham, akaun dagangan saya kosong, sesiapa sahaja boleh semak dengan Bursa Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menyentuh mengenai kontroversi tersebut, Azam berkata beliau telah membeli saham Velocity Capital Bhd pada awal 2025, dan kemudian melupuskan keseluruhan pegangan itu pada Julai 2025 tanpa mendapat sebarang keuntungan daripada urus niaga tersebut.

Azam memberitahu beliau juga membuat pengisytiharan berhubung pegangan saham miliknya itu melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS). 

Beliau menjelaskan bahawa sebagai pegawai berjawatan kontrak yang tempohnya diperbaharui pada Mei 2025, beliau kekal teliti dalam melaksanakan tugas pelaporan bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran terhadap pekeliling pentadbiran.

Beliau berkata dokumen pengisytiharan yang dibuat melalui HRMIS boleh diakses pada bila-bila masa oleh pegawai yang diberi kuasa.

Katanya urus niaga saham tidak menyalahi undang-undang bagi pegawai kerajaan, asalkan tiada konflik kepentingan dan pengisytiharan dibuat dengan telus.

Azam berkata saham dibelinya adalah mematuhi peraturan kerajaan yang menetapkan bahawa sebagai pegawai kerajaan, beliau tidak boleh memiliki lebih daripada lima peratus daripada modal berbayar sesebuah syarikat

“Saham ini bukanlah modal berbayar. Saya membelinya di pasaran saham. Jadi, di sini terdapat dua tafsiran berbeza,” katanya.

Azam juga menafikan dakwaan bahawa beliau masih memiliki saham dalam syarikat lain, termasuk laporan terkini berhubung saham Awanbiru Technology.

“Saya tidak mempunyai sebarang saham lagi, akaun saham saya kosong. Jika saya berbohong, boleh lapor kepada polis. Saya tidak mempunyai seunit pun saham,” katanya.

Beliau berkata semua urus niaga saham itu dibiayai sepenuhnya melalui simpanan peribadi, pencen serta imbuhan persaraan, dan bukan melalui pinjaman atau sumber lain.

Beliau juga menjelaskan bahawa pengisytiharan aset oleh pegawai kanan kerajaan tertakluk kepada prosedur pentadbiran dalaman dan tidak perlu didedahkan kepada umum.

“Tiada undang-undang yang memerlukan saya mengisytiharkan kepada orang awam,” katanya.

Berhubung artikel yang diterbitkan oleh Bloomberg, Azam berkata beliau sudah meminta peguamnya untuk menghantar surat tuntutan (LOD) kepada agensi berita antarabangsa itu, esok.

Beliau berkata notis undang-undang itu akan dihantar sama ada ke pejabat Bloomberg di Malaysia atau ibu pejabatnya di Amerika Syarikat, dan menegaskan bahawa beliau bersedia membawa perkara itu ke mahkamah.

Katanya artikel tersebut diterbitkan tanpa membuat semakan fakta secara menyeluruh, terutama berkaitan garis masa pemilikan saham dan pengisytiharan asetnya, dan menganggap artikel itu mengelirukan dan berunsur fitnah.

Azam turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya gagal memberi respons terhadap pertanyaan Bloomberg sebelum artikel tersebut diterbitkan.

“Mereka ada menghantar emel kepada kami dan kami telah memberi maklum balas pada Januari.  Apabila mereka mendakwa kami tidak menjawab, itu tidak benar kerana (dalam artikel itu) dinyatakan tiada jawapan daripada saya atau SPRM,” katanya.

Azam berkata laporan tersebut menjejaskan reputasi peribadinya serta imej SPRM.

Beliau menjelaskan bahawa isu tersebut bukan bersifat jenayah, sebaliknya berkaitan dengan tafsiran terhadap pekeliling pentadbiran berhubung pengisytiharan aset.

Azam berkata beliau akan menuntut ganti rugi dan bukannya mengambil tindakan prosiding jenayah kerana tidak mahu membebankan pihak polis dengan siasatan rentas sempadan.

Beliau turut memberi amaran akan memohon injunksi daripada mahkamah sekiranya ada mana-mana pihak terus membangkitkan perkara itu.

Azam menegaskan bahawa beliau sudah mematuhi semua keperluan pengisytiharan aset mengikut prosedur kerajaan dan menyifatkan kontroversi itu berpunca akibat spekulasi dan salah tafsir, dan bukannya pelanggaran peraturan.

“Saya telah mematuhi semua keperluan pengisytiharan yang berkaitan, namun saya tidak perlu mendedahkan pengisytiharan itu kepada umum,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan