EKONOMI

NIAGA HADAPAN MSM DIJANGKA DINIAGAKAN ANTARA RM3,800-RM4,000 SATU TAN HINGGA JULAI 2026 - PAKAR

11/02/2026 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) dijangka diniagakan antara RM3,800 hingga RM4,000 satu tan bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, kata seorang pakar industri.

Pengarah Godrej International Ltd Dorab Mistry berkata, unjuran ini sepatutnya dinilai semula selepas Julai dengan mengambil kira faktor baharu serta tindakan Indonesia terhadap mandat biodiesel B50, kecuali terdapat faktor berkaitan cuaca seperti kemarau.

“Niaga hadapan MSM di bawah RM4,000 tidak menarik bagi syarikat sawit yang tersenarai dan pemegang saham. Jadi, saya menjangkakan niaga hadapan sawit akan pulih apabila kita memasuki April.

“Pada masa yang sama, jika niaga hadapan susut di bawah RM4,000, akan ada usaha yang giat untuk menyokong dan menaikkan harga minyak sawit dan anda akan melihat pemimpin industri serta menteri Indonesia bercakap mengenai mandat B50 sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi bertajuk “Unjuran Harga Minyak Sawit dan Minyak Tumbuhan Global 2026 di Era Pemerintahan Presiden Trump dan Prabowo” pada 37th Palm and Lauric Oils Price Outlook Conference and Exhibition (POC) 2026 di sini hari ini.

Dorab berkata, tenaga kerja yang mencukupi di ladang-ladang Malaysia dan keadaan cuaca yang baik membantu meningkatkan pengeluaran 2025 kepada lebih 20 juta tan berbanding jangkaan 19.3 juta tan.

“Pengeluaran minyak sawit di Malaysia sejak Oktober 2025 menunjukkan prestasi baik. Dengan peningkatan tenaga kerja, pokok sawit kembali ke kitaran lamanya.

“Pada masa yang sama, stok sawit di Malaysia melebihi tiga juta tan berbanding jangkaan dua juta tan manakala olein sawit kembali berdaya saing harganya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan