DUNIA

RINGGIT DIBUKA HAMPIR TIDAK BERUBAH BERBANDING DOLAR AS

11/02/2026 09:48 AM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan pelabur mengambil pendirian berhati-hati menjelang pengumuman data pasaran buruh utama AS.

Pada 8 pagi, ringgit dibuka pada 3.9220/9345 berbanding dolar AS daripada 3.9220/9260 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks dolar AS (DXY) meningkat sedikit sebanyak 0.05 peratus kepada 96.865 mata, walaupun data jualan runcit AS lebih lemah daripada jangkaan.

“Jualan runcit AS tidak berubah bulan ke bulan pada Disember 2025 berbanding anggaran konsensus sebanyak 0.4 peratus, menunjukkan sentimen pengguna yang lebih lemah dan momentum perbelanjaan lebih perlahan.

“Oleh itu, peniaga akan memantau kadar gaji bukan ladang (NFP) dan pengangguran dengan anggaran konsensus pada 70,000 pekerjaan berbanding 50,000 pada Disember, manakala kadar pengangguran dijangka kekal tidak berubah pada 4.4 peratus,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata pedagang dan pelabur kekal positif terhadap Malaysia, memandangkan ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS semalam.

“Data kekuatan tinggi terus menyokong ekonomi negara, dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) dan Indeks Perkhidmatan meningkat masing-masing sebanyak 5.0 peratus dan 6.5 peratus, pada suku keempat 2025, berbanding 4.9 peratus dan 5.5 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

Data kekuatan tinggi merujuk kepada sistem ekonomi, iaitu keputusan dibuat berdasarkan data masa sebenar (real time) yang masuk dengan pantas dan kerap.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.3465/3635 daripada 5.3610/3664 ketika dittutup pada Selasa, dan melonjak berbanding euro kepada 4.6621/6769 daripada 4.6731/6778 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.5382/5464 daripada 2.5264/5292 ketika ditutup pada Selasa.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0989/1090 daripada 3.0994/1028 sebelum itu dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.5420/5920 daripada 12.5866/6051.

Ia tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.70/6.72 daripada 6.70/6.71 sebelumnya, ringgit juga tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 233.3/234.1 daripada 233.3/233.6 ketika ditutup semalam.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan