SUKAN

SELANGOR SETARAKAN NILAI INSENTIF KEMENANGAN ATLET PARA SUKMA - EXCO

11/02/2026 01:40 AM

SHAH ALAM, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan menyetarakan insentif kemenangan atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) dengan atlet SUKMA, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata ia sejajar dengan pendekatan kerajaan negeri yang turut menyetarakan akses latihan, pembangunan prestasi dan kebajikan atlet Para SUKMA agar setanding atlet SUKMA menjelang penganjuran temasya itu tahun ini.

"Kita mahu memastikan tiada diskriminasi dari segi ganjaran. Pada SUKMA Sarawak 2024, setiap pemenang pingat emas menerima RM10,000 dan selepas ini atlet Para SUKMA juga akan menerima kadar yang sama.

"Nilai insentif terkini (bagaimanapun) akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Penganjuran SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 berkata pendaftaran sukarelawan SUKMA yang dibuka kurang 72 jam lepas telah menarik minat kira-kira 18,000 individu setakat tengah hari tadi, jauh melepasi sasaran awal 5,000 orang.Beliau berkata jumlah itu mencerminkan minat tinggi masyarakat khususnya golongan muda untuk terlibat sebagai sukarelawan dalam penganjuran SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026.

“Kita akan menyelaraskan penempatan mengikut keperluan lokaliti dan cabang sukan kerana ada sukan yang mencatatkan minat sangat tinggi manakala ada yang masih rendah.

"Pihak sekretariat akan melaksanakan semakan semula keperluan bagi memastikan pengagihan sukarelawan lebih seimbang, selain menyediakan modul latihan dan insentif yang wajar kepada mereka yang terpilih," katanya.

Beliau berkata penyertaan sukarelawan meliputi kedua-dua temasya SUKMA dan Para SUKMA dengan pengurusan dibuat secara terancang bagi menjamin kelancaran operasi serta pengalaman penganjuran bertaraf tinggi.

Terdahulu, Mohd Najwan menyempurnakan Majlis Pelancaran Program "Selangor Road To Champion Para SUKMA 2026" dan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Kontinjen Para SUKMA Selangor dengan disaksikan 141 atlet para termasuk 10 pengurus pasukan dan 17 jurulatih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku Lim Yi Wei pula dilantik sebagai Ketua Kontinjen Para SUKMA 2026 Selangor manakala Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dr Ani Ahmad, masing-masing diumumkan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (I) dan (II).

Para SUKMA 2026 dijadual berlangsung di daerah Klang serta Petaling bermula 5 hingga 10 Sept depan dan menawarkan 316 pingat emas membabitkan 316 acara daripada 10 jenis sukan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan