DUNIA

ASEAN BAKAL GALAS PERANAN LEBIH KRITIKAL MENDEPANI KETIDAKTENTUAN ORDER GLOBAL - AUSTRALIA

10/02/2026 09:55 PM

Daripada Noor Bakhtiar Ahmad

MANILA, 10 Feb (Bernama) -- Australia melihat peranan ASEAN menjadi semakin penting ketika rantau ini menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang kian meningkat serta tekanan terhadap sistem berasaskan peraturan global, kata Duta Besar Australia ke ASEAN Tiffany McDonald pada Selasa.

McDonald berkata memandangkan organisasi serantau itu akan menghampiri ulang tahun ke-60 tahun depan, Australia menjangkakan peranan ASEAN dalam membentuk order serantau akan menjadi lebih ketara, terutamanya apabila persaingan geopolitik semakin sengit.

Ketahanan ASEAN, tambah beliau, membuktikan kaitan berterusan dan kapasitinya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan strategik yang berubah-ubah.

"Dalam banyak aspek, peranan ASEAN akan lebih ditekankan pada masa hadapan," katanya sambil merujuk kepada keupayaan organisasi itu untuk menyatukan rakan kongsi dan mengurus perbezaan melalui dialog.

"ASEAN adalah penting kerana ia menyatukan rantau yang sebahagian besar masa depan dunia sedang dibentuk," katanya semasa mesyuarat meja bulat yang dianjurkan oleh Kedutaan Australia untuk peserta Projek Lawatan Media Maritim Asia Tenggara (SEAMMVP) di Makati City, di sini Selasa.

Turut hadir pada mesyuarat meja bulat itu ialah Duta Besar Australia ke Filipina Marc Innes-Brown dan Pengarah Pusat Keselamatan Global La Trobe merangkap Profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti La Trobe, Melbourne, Rebecca Strating.

Mengulas lanjut, McDonald berkata ASEAN memainkan peranan utama dalam menghimpunkan rakan kongsi serta menetapkan peraturan dan norma yang menjadi asas kepada kestabilan serantau.

Sambil mengakui persekitaran global menjadi lebih mencabar, beliau berkata Australia terus melihat kerjasama melalui mekanisme diterajui ASEAN sebagai penting untuk menguruskan ketegangan dan membentuk jangkaan tingkah laku di rantau ini.

McDonald berkata pendekatan Australia terhadap rantau ini dirangka berdasarkan apa yang disifatkan oleh Menteri Luar Penny Wong sebagai "empat R," atau rantau (region), perhubungan (relationships), peraturan (rules), dan daya tahan (resilience), dengan ASEAN menduduki tempat utama dalam kerangka tersebut.

Beliau berkata negara di Asia Tenggara dan Australia mendapat manfaat besar daripada peraturan dan norma antarabangsa yang sekian lama wujud, yang telah menyediakan kestabilan, pertumbuhan ekonomi, serta keselamatan di seluruh rantau ini selama beberapa dekad.

Beliau menyatakan bahawa Australia sentiasa menyokong kerangka serantau yang diterajui ASEAN, termasuk mekanisme yang direka untuk mengurangkan risiko konflik dan salah faham, berbanding mempromosikan struktur serantau alternatif.

Menurut McDonald, objektif Australia adalah untuk bekerjasama dengan ASEAN bagi membentuk rantau yang ditadbir oleh peraturan dan norma yang dipersetujui, di samping memastikan tiada satu pun negara yang mendominasi urusan serantau dan tiada negara yang dipaksa untuk memihak.

"Kami komited dalam mengekalkan rantau yang setiap negara bebas untuk mengejar kepentingan nasional masing-masing," katanya.

McDonald berkata ketahanan ASEAN dan tempoh enam dekad akan datang sebagai organisasi serantau menunjukkan kaitan berterusannya serta kapasiti untuk menyesuaikan diri dengan keadaan strategik yang berubah.

Beliau menambah bahawa Perkongsian Strategik Komprehensif Australia dengan ASEAN, yang ditubuhkan pada 2021, terus membimbing kerjasama dalam cabaran serantau, termasuk keselamatan maritim, pembangunan ekonomi, dan pencegahan konflik.

Sementara itu, Brown berkata Australia dan Filipina terus memperkukuh kerjasama, terutamanya dalam keselamatan maritim, penglibatan pertahanan, dan perlindungan alam sekitar.

Beliau berkata kerjasama maritim dua hala telah berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini disokong oleh memorandum persefahaman 2024 mengenai kerjasama maritim yang dipertingkatkan merangkumi keselamatan maritim awam, kesedaran domain maritim, kerjasama pertahanan, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

Brown berkata bagi program kerjasama maritim dua halanya dengan Filipina, Australia telah menggandakan pembiayaannya kepada A$18 juta bagi tempoh 2025-2029 untuk memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti, sokongan peralatan, dan latihan, serta peluang pertukaran dan biasiswa.

Mengenai penglibatan pertahanan, Brown berkata kerjasama antara kedua-dua negara telah diperdalam melalui latihan bersama dan aktiviti latihan, termasuk Eksesais Operasi Amfibi dan Darat (Eksesais ALON), yang melibatkan komponen udara, darat, dan maritim, serta penyertaan Filipina dalam Eksesais Talisman Sabre di Australia.

Brown juga menekankan kerjasama dalam perlindungan alam sekitar marin, dengan menyatakan usaha bersama dalam penyelidikan saintifik untuk memulihkan terumbu karang, mengurangkan plastik marin, memperkukuh kesiapsiagaan tindak balas tumpahan minyak, dan melindungi ekosistem marin daripada kesan perubahan iklim.

Dibiayai oleh Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia dengan kerjasama Universiti La Trobe, Melbourne, SEAMMVP bertujuan memupuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu maritim serantau dan memperkukuh rangkaian kerjasama wartawan Asia Tenggara. Seramai 12 wartawan dari Filipina, Malaysia, Indonesia, dan Vietnam menyertai program tersebut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan