DUNIA

ANUTIN: RUNDINGAN BENTUK KERAJAAN CAMPURAN HANYA SELEPAS KEPUTUSAN RASMI

10/02/2026 09:32 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 10 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menegaskan bahawa rundingan dengan parti-parti lain bagi membentuk kerajaan baharu hanya akan bermula selepas keputusan pilihan raya umum Ahad lalu disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (ECT).

“Walaupun keputusan tidak rasmi pilihan raya kini telah diketahui, proses itu masih tertakluk kepada prosedur undang-undang di bawah ECT,” katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan pada Selasa.

Walaupun muncul sebagai peneraju utama dengan mendahului 174 daripada 400 kerusi kawasan Parlimen, Parti Bhumjaithai masih belum mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan campuran.

Ketinggalan di belakang Parti Bhumjaithai ialah Parti Rakyat dengan 87 kerusi, Parti Pheu Thai (58), Parti Klatham (56) dan Parti Demokrat (10).

Dalam perkembangan berkaitan, Anutin berkata dalam tempoh itu, Kabinet sedia ada perlu terus melaksanakan tugas sepenuhnya sehingga Kabinet baharu mengangkat sumpah jawatan.

Dewan Perwakilan Thailand yang mempunyai 500 kerusi dipilih menerusi sistem campuran. Daripada jumlah itu, 400 kerusi kawasan ditentukan melalui sistem pemenang undi terbanyak manakala baki 100 kerusi diperuntukkan berdasarkan perwakilan berkadar atau senarai parti mengikut bahagian undi nasional yang diperoleh setiap parti.

Majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan ialah sebanyak 251 kerusi.

ECT dikehendaki mengesahkan keputusan pilihan raya dalam tempoh 60 hari, atau selewat-lewatnya pada 9 April, manakala Parlimen yang baharu dipilih dikehendaki bersidang dalam tempoh 15 hari selepas keputusan disahkan secara rasmi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan