AM

SULTAN SHARAFUDDIN TITAH ISU PEMBINAAN RUMAH IBADAT TANPA KEBENARAN DIHENTIKAN

10/02/2026 03:39 PM

SHAH ALAM, 10 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran dapat dihentikan dan dimuktamadkan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda mahu isu berkenaan dihentikan kerana telah menimbulkan keresahan dan menjejaskan keamanan serta keharmonian  masyarakat.

“Kerajaan (negeri) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diingatkan supaya sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat agar diproses secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. 

“Aspek pemantauan juga perlu sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohamad Bani berkata Sultan Sharafuddin sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi teras keharmonian masyarakat di  negeri itu.   

Baginda selaku Ketua Agama Islam Selangor bertitah bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada pihak kerajaan dan PBT, di samping mengikut segala perundangan serta garis panduan ditetapkan.

“Sebarang pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa kelulusan sah melibatkan pencerobohan terhadap tanah kerajaan dan persendirian, akan menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama yang akhirnya menyebabkan ancaman dan risiko keselamatan kepada negeri dan negara ini,” katanya.

Mohammad Bani berkata Sultan Selangor telah disembah maklum oleh Kerajaan Negeri Selangor berhubung pembinaan 687 rumah ibadat tanpa kebenaran di negeri itu setakat 31 Jan tahun ini.

“Ini membabitkan 388 buah kuil yang dibina di tanah milik kerajaan dan 299 buah kuil dibina di atas tanah milik persendirian. Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi maşyarakat India beragama Hindu sekitar lebih kurang 11.3 peratus di Selangor. 

“Jumlah ini tidak mengambil kira jumlah kuil di seluruh Selangor, yang didirikan secara sah dan telah mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri,”katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Bani berkata Sultan Sharafuddin menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Pendirian tegas kerajaan Persekutuan seperti dinyatakan Perdana Menteri adalah selari dengan prinsip dan pendekatan sentiasa ditekankan Sultan Selangor iaitu memastikan setiap pembangunan dijalankan adalah mengikut undang-undang berkuat kuasa dan tadbir urus yang baik,” katanya.  

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan