KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Institut Integriti Malaysia (IIM) berkuat kuasa semalam.
IIM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu bagi mengisi kekosongan jawatan susulan persaraan Datuk Ts Ahmad Ramzan Daud pada 24 Dis 2025.
“Dengan pengalaman luas dan ketokohan beliau dalam pentadbiran awam, IIM yakin beliau mampu memacu institut ini ke arah kecemerlangan dalam membudayakan integriti dan tatakelola terbaik di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Noridah memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada September 1998.
Beliau telah menyandang pelbagai jawatan kepimpinan utama termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Setiausaha di Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Pengarah di Jabatan Perkhidmatan Awam.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia.
Menerusi kenyataan itu, IIM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Ramzan atas jasa, komitmen dan khidmat bakti sepanjang menerajui institut tersebut.
-- BERNAMA
