KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan mentafsir Artikel 6.2 Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dengan melihatnya selaras dengan amalan tadbir urus yang baik, prinsip persaingan sihat dalam aktiviti komersial dan selari dengan obligasi antarabangsa Malaysia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata semua komitmen dalam ART ditafsir serta perlu diselaraskan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, perundangan domestik dan dasar sosioekonomi nasional.
“Bagaimanapun, klausa ini tidak mengenakan larangan mutlak terhadap semua bentuk sokongan kerajaan.
“Bantuan kerajaan yang khusus diberikan untuk melaksanakan obligasi perkhidmatan awam. Ini termasuk keperluan pembangunan nasional, keperluan keselamatan dan sosial adalah dibenarkan memandangkan ia tidak dianggap sebagai bantuan bukan komersial yang menjejaskan persaingan secara tidak wajar,” kata MITI.
Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.
MITI menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai bagaimana kerajaan mentafsir dan melaksanakan Klausa 6.2 ART Malaysia-AS.
-- BERNAMA
