KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Penulis dan sasterawan perlu tampil sebagai suara penimbang tara dalam masyarakat dengan menyampaikan kritikan secara berhemah serta menawarkan pemikiran alternatif yang membina bagi mengelakkan polarisasi pemikiran dan emosi melampau.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dalam setiap era, penulis berperanan sebagai pemikir zaman, pemerhati sosial dan pencetus wacana.
“Mereka bukan sekadar mencatat realiti, tetapi mentafsir perubahan dan menawarkan makna terhadap perjalanan masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Turut hadir Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP serta Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari.
Fadillah berkata karya sastera bukan sekadar wadah ekspresi kreatif, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai medium pemikiran dan wahana intelektual yang merakam denyut nadi masyarakat, cabaran semasa serta aspirasi masa depan secara jujur dan bermakna.
Beliau berkata sastera turut signifikan dalam membentuk insan yang berfikir, berakhlak dan berjati diri, selain berfungsi sebagai titipan sejarah yang merekodkan peristiwa, idea dan keresahan zaman untuk dijadikan pedoman generasi akan datang.
“Namun, kita kini hidup dalam dunia yang sarat dengan maklumat, yang mudah diakses tetapi tidak semuanya sahih. Lambakan maklumat tanpa tapisan, khususnya di media sosial, menuntut masyarakat menjadi lebih bijaksana dalam menilai, menimbang dan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan,” katanya.
Beliau berkata dalam era kepesatan teknologi dan dunia tanpa sempadan, pembangunan insaniah berdepan cabaran semakin kompleks, justeru usaha membangunkan jiwa dan roh masyarakat berteraskan budaya serta nilai tempatan perlu diberi keutamaan.
Katanya, kemajuan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui pencapaian material, sebaliknya mesti berlandaskan kekuatan nilai, pemikiran dan jiwa rakyat, selaras dengan pandangan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang menekankan perpaduan dan pembangunan manusia sebagai asas kelangsungan negara.
Seiring agenda Malaysia MADANI, Fadillah berkata bahasa dan sastera berperanan sebagai pemangkin pembentukan masyarakat yang berfikir, beradab serta mampu membuat pertimbangan matang, selain menyemai nilai perpaduan, toleransi dan saling menghormati dalam masyarakat majmuk.
“Bahasa dan sastera menjadi wahana paling berkesan dalam mendidik jiwa, menyentuh hati dan membina kesedaran. Perubahan sikap dan tindakan manusia hanya dapat digerakkan melalui sentuhan nurani melalui keindahan bahasa, kekuatan naratif dan kebijaksanaan pemikiran yang tersirat dalam karya sastera,” katanya.
Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong usaha memperkasa ekosistem penulisan kreatif, termasuk melahirkan bakat baharu, memperluas ruang penerbitan serta memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap karya tempatan, selain memastikan karya sastera diperkasakan melalui medium digital bagi menembusi khalayak lebih luas, khususnya generasi muda sebagai pewaris masa depan negara.
-- BERNAMA
