AM

HARI WILAYAH 2026: KEPIMPINAN NEGARA TEKANKAN KEBERSAMAAN, PEMBANGUNAN INKLUSIF

01/02/2026 11:10 AM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Beberapa kepimpinan negara menggesa supaya semangat kebersamaan terus diperkukuh bagi memastikan Wilayah Persekutuan kekal sebagai wilayah yang selamat, maju dan sejahtera sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sahaja berperanan sebagai pusat pentadbiran serta nadi ekonomi negara, malah mencerminkan kematangan wilayah yang berkembang hasil usaha bersama rakyatnya.

“Tahun ini, tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ sekali lagi diangkat sebagai peringatan bahawa wilayah ini ialah milik bersama. Ia perlu terus dipelihara, diperkasakan dan dibangunkan agar kekal menjadi ruang yang selamat, maju serta sejahtera untuk didiami,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Ahmad Zahid berkata pencapaian pembangunan Wilayah Persekutuan hari ini terhasil daripada komitmen berterusan pelbagai pihak merangkumi penjawat awam, komuniti, sektor swasta dan seluruh warga yang menyumbang kepada kemajuan wilayah.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semangat kebersamaan dan tanggungjawab dapat terus diperkukuh demi memastikan Wilayah Persekutuan kekal sebagai lambang kemajuan, perpaduan dan masa hadapan negara.

“Selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2026. Semoga wilayah ini terus makmur dan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sambutan Hari Wilayah 2026 mengangkat nilai perpaduan, keharmonian serta kerjasama erat dalam memacu pembangunan bersama.

Beliau berkata Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sahaja mercu tanda kejayaan Malaysia, malah memiliki keindahan dan keunikan tersendiri dengan kepelbagaian budaya serta menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

“Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini mengangkat sekali lagi tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ yang menggambarkan nilai perpaduan, keharmonian, semangat kebersamaan dan kerjasama erat dalam memacu pembangunan bersama,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menegaskan sambutan Hari Wilayah Persekutuan membawa mesej jelas bahawa pembangunan bandar mesti berfungsi untuk rakyat dan bukan menyusahkan.

Beliau berkata ruang awam, keselamatan serta tadbir urus bandar perlu dirangka secara inklusif bagi memastikan pengalaman hidup yang adil, terbuka dan selesa untuk semua lapisan masyarakat.

“Ruang awam mesti terbuka, mudah diakses dan aktif digunakan oleh keluarga, belia, warga bekerja, warga emas dan OKU. Keselamatan dibina melalui reka bentuk dan keterlihatan, bukan sekatan. Taman, padang dan laluan pejalan kaki adalah keperluan asas bandar, bukannya aksesori,” katanya.

Yeoh turut menekankan keperluan tadbir urus bandar yang responsif serta berani membetulkan kesilapan, dengan pembangunan infrastruktur dilaksanakan tanpa menjejaskan fungsi sosial bandar.

“Kita bina bukan sekadar fizikal bandar tetapi pengalaman hidup, iaitu adil, terbuka dan selesa untuk semua. Bandar ini milik anda,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan