KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan pelacuran melibatkan wanita warga Afrika yang menjadikan kaki lima di sekitar Bukit Bintang sebagai lokasi menawarkan khidmat seks dalam satu operasi awal pagi tadi.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kuala Lumpur pada kira-kira 2 pagi itu menahan 11 wanita terdiri daripada warga Ghana, Uganda dan Nigeria.
Menurut kenyataan itu, kesemua wanita yang ditahan berusia antara 20 hingga 30-an, selain polis turut merampas sejumlah kondom yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kumpulan wanita warga asing ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan pelacuran sejak kira-kira sebulan lepas.
“Kesemua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
JSJ memaklumkan modus operandi suspek adalah menawarkan perkhidmatan seks di kaki lima jalan dengan menyasarkan pelanggan yang datang berhibur di kawasan itu sebelum membawa pelanggan ke hotel bajet berhampiran atau ke lokasi pilihan pelanggan sekiranya persetujuan dicapai.
“Siasatan awal turut mendapati kesemua suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelancong sebelum menjadikan aktiviti pelacuran sebagai sumber pendapatan.
“Kegiatan ini dipercayai dijalankan secara individu tanpa melibatkan mana-mana sindiket, dengan kadar bayaran sekitar RM200 bagi setiap perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan bagi aktiviti melacur dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai permit atau dokumen perjalanan yang sah.
-- BERNAMA
