AM

BARAKAT, BERKAT PASTIKAN USAHAWAN TERUS BERDAYA TAHAN - FAHMI ZAINOL

07/02/2026 12:25 PM

GEORGE TOWN, 7 Feb (Bernama) -- Inisiatif pembiayaan khas berjumlah RM80 juta bagi memperkasa komuniti usahawan bertujuan memastikan golongan berkenaan terus berdaya tahan khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan persediaan perniagaan sempena Ramadan serta sambutan Tahun Baharu Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol berkata pengumuman oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim itu merupakan pendekatan bersasar yang memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam membina ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan.

"Di peringkat kerajaan negeri pelbagai inisiatif sedia ada telah dilaksanakan di bawah portfolio pembangunan usahawan dan ekonomi rakyat bagi memperkasa peniaga kecil termasuk melalui program latihan keusahawanan, bantuan pemasaran digital, sokongan akses pasaran dan skim pembiayaan mikro negeri. 

"Sehubungan itu, pelaksanaan program Pembiayaan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) dan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) diyakini akan melengkapkan serta memperkukuh usaha sedia ada kerajaan negeri dalam membangunkan kapasiti usahawan tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Feb, Sim mengumumkan dua skim pembiayaan khas berjumlah RM80 juta untuk mengukuhkan akses usahawan mikro kepada pembiayaan semasa musim perayaan iaitu Barakat bernilai RM50 juta sempena Ramadan dan Aidilfitri oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Berkat berjumlah RM30 juta untuk Tahun Baharu Cina oleh SME Corp Malaysia.

Fahmi berkata sinergi strategik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu amat penting dalam memastikan setiap usahawan tanpa mengira latar belakang, mendapat akses yang adil kepada peluang pembiayaan, bimbingan dan pembangunan perniagaan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus komited untuk bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi mengangkat martabat usahawan, memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat, serta memastikan kebajikan peniaga sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, beliau menyeru usahawan yang layak agar memanfaatkan sepenuhnya peluang pembiayaan ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan, peningkatan pendapatan, dan kelangsungan usaha dalam jangka panjang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan