AM

PELAN STRATEGIK KKDW 2026-2030 PERKASA PEMBANGUNAN LUAR BANDAR - AHMAD ZAHID

08/02/2026 06:53 PM

KUALA NERUS, 8 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026-2030 yang menetapkan hala tuju pembangunan luar bandar bagi tempoh lima tahun.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelan tersebut memberi penekanan kepada lima kluster utama, iaitu ekonomi desa, modal insan, jaringan prasarana, usahawan desa dan sistem penyampaian perkhidmatan. 

“Sebanyak 20 strategi dan 49 inisiatif dirangka bagi memacu pembangunan luar bandar secara bersepadu dan mampan, dengan sasaran manfaat kepada 8.17 juta penduduk desa, iaitu 24 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Permukiman KKDW 2026 dan Pelancaran Pelan Strategik KKDW 2026-2030 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Ahmad Zahid berkata pelan tersebut seiring dengan matlamat Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 dan Dasar Pembangunan Luar Bandar.

Katanya ia juga merupakan dokumen panduan bagi pelaksanaan program dan projek kementerian dengan penekanan kepada kecekapan penyampaian, akauntabiliti penggunaan sumber awam dan impak langsung kepada masyarakat desa.

“Keupayaan KKDW untuk melaksanakan anjakan strategik ini disokong oleh pencapaian hasil yang telah direkodkan sepanjang RMK-12. Pencapaian tersebut menandakan peralihan daripada fasa perancangan kepada fasa penghasilan,” katanya.

Beliau berkata antara hasil pencapaian KKDW sepanjang RMK-12 adalah kadar kemiskinan luar bandar menurun kepada 9.9 peratus pada 2024, berbanding 12.9 peratus pada 2022 dan migrasi luar bandar ke bandar merosot kepada 0.5 peratus pada 2024 berbanding 2.4 peratus pada 2022.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan