JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI THAILAND MENGAKU TIDAK BERSALAH PANDU BERBAHAYA HINGGA SEBABKAN KEMATIAN

08/02/2026 01:32 PM

JITRA, 8 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, bulan lepas.

Yusof Senkonam, 60, guru agama dari Satun, Thailand didakwa memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, di persimpangan lampu isyarat RTC Napoh, Jalan Alor Setar-Bukit Kayu Hitam di sini pada 10.30 malam 15 Jan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Hedzir manakala lelaki itu diwakili peguam Zabidah Ahmad.

Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri membenarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan memerintahkan lelaki itu melaporkan diri di balai polis setiap bulan selain lesen memandu di Malaysia digantung. 

Beliau menetapkan 15 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan