KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Propel Global Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) bersama Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Reservoir Link Energy Bhd bagi meneroka pembangunan loji jana kuasa gas modular di Sabah.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua syarikat berkata kerjasama itu bertujuan menyediakan penyelesaian tenaga yang menjimatkan kos, rendah pelepasan karbon dan boleh dilaksanakan dengan pantas bagi menyokong pertumbuhan industri serta kestabilan grid tenaga di negeri itu.
Di bawah MOU berkenaan, Propel Global dan Reservoir Link akan bekerjasama dalam kajian kebolehlaksanaan, penilaian impak alam sekitar dan sosial, kajian sistem kuasa serta kesalinghubungan penghantaran, selain pemodelan dan analisis kewangan, dengan urusan berkaitan tanah disokong oleh Sabah Energy.
Kedua-dua pihak turut bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bersama dalam tempoh 30 hari bagi menyelaras, menilai dan menyelia semua aktiviti yang diperlukan di bawah perjanjian tersebut.
Projek berkenaan akan dilaksanakan di bawah struktur sifar perbelanjaan modal (capex), yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Reservoir Link, manakala terma komersial dan pemilikan terperinci akan dimuktamadkan menerusi perjanjian usaha sama yang akan dimeterai kemudian.
Kerjasama itu akan berkuat kuasa selama dua tahun, kecuali jika digantikan lebih awal melalui pelaksanaan perjanjian usaha sama atau ditamatkan melalui persetujuan bersama, atau oleh mana-mana pihak dengan notis bertulis sebulan lebih awal.
Sepanjang tempoh itu, kedua-dua pihak bersetuju bersetuju untuk bekerjasama secara eksklusif di Sabah dan tempoh dua tahun selepas itu serta memastikan kerahsiaan semua maklumat.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, syarikat-syarikat berkenaan akan menyokong inisiatif peralihan bahan api di tapak projek dengan membangunkan, melaksanakan dan mengendalikan projek yang mengintegrasikan regasifikasi gas asli cecair (LNG), pengagihan gas serta penjanaan kuasa modular.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global Angeline Lee berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kumpulan berkenaan dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan boleh dipercayai untuk Sabah.
“Dengan mengintegrasikan regasifikasi LNG bersama teknologi penjanaan modular, kami berhasrat menyokong peralihan tenaga Sabah melalui penjimatan kos dan pengurangan pelepasan karbon, di samping menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi jangka panjang negeri ini,” katanya.
Kumpulan itu kekal komited terhadap pelaksanaan yang bertanggungjawab, dengan tadbir urus kukuh serta perlindungan alam sekitar dan sosial yang mantap bagi memastikan manfaat mampan kepada komuniti tempatan dan sektor industri, katanya.
-- BERNAMA
