EKONOMI

GLLM CADANG TAWAR RM1.10 SESAHAM JADIKAN GUOCOLAND MALAYSIA SYARIKAT PERSENDIRIAN

03/02/2026 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- GLL (Malaysia) Pte Ltd (GLLM), pemegang saham utama GuocoLand (Malaysia) Bhd (GLM) mencadangkan untuk menjadikan GLM sebagai syarikat persendirian melalui pengurangan modal terpilih dan pelaksanaan pembayaran balik.

GLLM menawarkan RM1.10 tunai sesaham kepada pemegang saham minoriti melibatkan jumlah pertimbangan kira-kira RM269.44 juta (S$86.91 juta).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat pegangan pelaburan itu berkata harga tawaran pada RM1.10 setiap saham untuk 244.95 juta saham yang mewakili kira-kira 34.97 peratus daripada GLM yang tidak dimiliki oleh GLLM.

Ini sekali gus mencerminkan premium 17.65 peratus berbanding harga terakhir yang diniagakan 93.5 sen bagi saham GLM pada 30 Jan, 2026.

Ia juga mewakili premium 47.73 peratus untuk volum enam bulan purata wajaran harga pasaran syarikat iaitu pada 74.46 sen.

GLLM berkata cadangan syarikat persendirian itu memberi peluang kepada pemegang saham yang layak untuk merealisasikan pelaburan mereka dalam GLM pada harga premium mengikut harga pasaran semasa.

"Lembaga pengarah GLM mempunyai tempoh sehingga 2 Mac, 2026 melainkan dilanjutkan masa untuk mempertimbangkan dan menentukan sama ada mereka bersetuju untuk mengambil langkah bagi melaksanakan cadangan syarikat persendirian ini.

"Selain itu untuk membentangkan cadangan syarikat persendirian tersebut bagi pertimbangan pemegang saham GLM yang layak," katanya.

Sekiranya cadangan ini berjaya dilaksanakan, GLLM akan menjadi pemegang saham tunggal GLM dan syarikat itu akan dikeluarkan dari senarai di Bursa Malaysia.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan