IPOH, 30 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam melaksanakan operasi bersepadu bagi menghapuskan kacau ganggu persekitaran di sebuah rumah di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini, susulan aduan berulang penduduk walaupun tindakan serupa telah dilakukan sebanyak enam kali.
Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah berkata halaman rumah teres setingkat milik wanita berusia 69 tahun itu didapati terus dijadikan tempat pengumpulan barangan kitar semula dan sampah sarap tidak terkawal sehingga menjejaskan kesejahteraan serta kualiti hidup komuniti sekitar.
“Keadaan itu menyebabkan kacau ganggu persekitaran serta berpotensi menjadi tempat pembiakan dan penyebaran penyakit bawaan vektor seperti nyamuk, lipas dan tikus.
“Sejak 2016, enam operasi pembersihan telah dilaksanakan selain pemilik juga dikenakan tindakan mahkamah sebanyak tiga kali melibatkan hukuman denda dan perintah mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Zamakhshari berkata dalam operasi dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis serta disaksikan oleh Ahli Majlis MBI Zuraidah Zakaria melibatkan lima lori berkapasiti tujuh tan, sebuah jengkaut dan sebanyak 27 anggota pembersihan.
Beliau berkata barangan seperti plastik, kertas, besi dan kayu dipindahkan sepenuhnya dengan mereka mengambil masa tiga jam untuk menyelesaikan operasi itu.
“MBI kekal komited dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup warga Ipoh sentiasa terpelihara melalui penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan berterusan,” katanya.
-- BERNAMA
