AM

PERMOHONAN PENGAMBILAN 20,000 GURU DG9 DIBUKA MAC - KPM

30/01/2026 01:12 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Permohonan pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru seluruh negara. 

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata hebahan rasmi pengambilan akan dibuat pada 23 Feb manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Beliau berkata inisiatif pengambilan guru besar-besaran itu sebahagian persiapan awal Kementerian Pendidikan (KPM) bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 selain menyokong kemasukan kanak-kanak enam tahun ke tahun satu secara sukarela tahun hadapan.

“KPM komited memastikan keperluan tenaga pengajar yang mencukupi serta meningkatkan mutu pendidikan negara sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memastikan tahap kompetensi guru terpelihara, Mohd Azam berkata calon yang terpilih diwajibkan menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan sebelum ditempatkan di sekolah.

“Inisiatif ini cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI bagi meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan