AM

SEMANGAT MALAYSIA PERLU DIHIDUPKAN MELALUI PEMAHAMAN MA63 – FADILLAH

26/01/2026 12:02 AM

KUCHING, 25 Jan (Bernama) -- Pemahaman terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diperkukuh sebagai asas untuk menghidupkan semula semangat Malaysia demi menjamin perpaduan dan keharmonian negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata tuntutan berkaitan MA63 oleh Sabah dan Sarawak bukan bertujuan menuntut secara berlebihan, sebaliknya berlandaskan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian berkenaan dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Isu-isu berkaitan sedang diperhalus melalui perbincangan peringkat jawatankuasa teknikal dan majlis berkaitan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta menteri-menteri terlibat bagi memastikan pengembalian hak dapat dilaksanakan secara teratur dan berhemah.

“Pendekatan ini penting supaya proses pengembalian hak dapat mengharmonikan hubungan antara rakyat serta mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Oxford and Cambridge Alumni Network di sini malam ini.

Fadillah berkata aspek pendidikan turut memainkan peranan penting dalam membentuk kefahaman itu kerana dalam proses pendidikan negara, penekanan seharusnya diberikan kepada sejarah penubuhan Malaysia dan tidak hanya tertumpu kepada sejarah penubuhan Tanah Melayu.

“Perkara berkaitan Malaysia, MA63 serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan sebenarnya telah termasuk dalam syllabus sejarah kita, namun pemahaman terhadap kandungannya masih perlu diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata semangat Malaysia yang berteraskan MA63 menuntut kefahaman menyeluruh terhadap kandungan perjanjian berkenaan, termasuk perkara-perkara yang telah dipersetujui untuk dipulangkan kepada negeri.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan