Daripada Muhammad Zulkarnain Mohd Azman
JAKARTA, 25 Jan (Bernama) -- Ketua Jurulatih Selangor Red Giants (SRG) Michael Angelo Bocado mengakui strategi pemilihan hero wakil tuan rumah, Alter Ego yang agresif dan luar biasa menjadi punca utama kekalahan pasukannya 1-3 pada perlawanan akhir lower bracket Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M7 malam tadi.
Bocado atau lebih dikenali sebagai Arcadia berkata kekalahan itu amat perit kerana SRG tewas dalam perlawanan yang mereka anggap telah hampir dimenangi.
“Pertamanya, corak permainan agresif mereka (Alter Ego) benar-benar memberi tekanan kepada setiap pasukan lain. Alter Ego sememangnya sebuah pasukan yang sentiasa berusaha memaksimumkan pertarungan berpasukan meningkatkan rentak permainan.
“Pada masa sama, ia bukan sekadar mengenai pertarungan dalam permainan kerana pemilihan hero mereka cukup unik dan luar biasa. Apabila sesuatu pasukan menjadi mudah dijangka dalam draf, sukar untuk menyesuaikan strategi, namun Alter Ego sentiasa mengekalkan pendekatan kreatif dan subjektif,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Tenis Tertutup Istora Senayan di sini.
Sementara itu, Arcadia melahirkan rasa bangga atas konsistensi SRG setelah menamatkan saingan di tempat ketiga dalam dua edisi M Series berturut-turut.
“Saya amat berbangga dengan pasukan saya, kami kini lebih baik berbanding tahun lepas. Meraih tempat ketiga sekali lagi di peringkat dunia memperlihatkan pengorbanan, kerja keras dan komitmen oleh pemain.
“Mereka telah melakukan yang terbaik… itu sesuatu yang boleh kita banggakan,” katanya.
Sementara itu, perlawanan akhir lower bracket antara SRG dan Alter Ego mencatat rekod dunia baharu sebagai perlawanan e-sukan mudah alih yang paling banyak ditonton sepanjang masa, dengan 5.59 juta Tontotan Serentak Tertinggi (PCV), menurut Esports Charts.
Rekod sebelum ini sebanyak 5.36 juta PCV dicatatkan pada kejohanan semasa perlawanan Alter Ego menentang Team Liquid Philippines (TLPH), menjadikan Kejohanan Dunia M7 edisi M Series yang paling banyak ditonton dalam sejarah.
-- BERNAMA
