Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
KOTA BHARU, 25 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli sedang memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kepakaran dalam bidang emas dan unsur nadir bumi (REE) menerusi pembangunan makmal khusus yang menyediakan perkhidmatan analisis ketulenan emas serta kandungan mineral kepada industri perlombongan.
Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata tumpuan terhadap bidang berkenaan adalah antara kepakaran utama yang sedang dibangunkan, khususnya di Jeli, sejajar dengan keperluan semasa industri perlombongan dan sokongan kepada dasar pembangunan negeri.
Beliau berkata pada masa ini UMK masih berdepan cabaran untuk berperanan sepenuhnya sebagai pusat rujukan emas, namun pembangunan makmal emas yang lengkap itu dilihat langkah penting ke arah usaha terbabit.
"Makmal berkenaan membolehkan pengujian ketulenan emas dijalankan selain menyediakan perkhidmatan analisis sampel tanah bagi mengenal pasti kandungan emas.
“Pelombong atau pengusaha perlombongan boleh menghantar sampel emas atau tanah untuk diuji sama ada terdapat kandungan emas dan tahap ketulenannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata makmal berkenaan telah mula beroperasi sejak 2022 namun masih terdapat beberapa peralatan yang perlu dilengkapkan khususnya bagi analisis berkaitan emas.
Mengenai sambutan daripada pihak industri, beliau berkata banyak sampel telah diterima daripada pelombong di negeri ini selain Pahang dan Perak.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan dilapor berkata rakyat Kelantan yang berminat menjadi pendulang boleh membuat permohonan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan Pejabat Tanah Jajahan bermula 1 Jan lepas.
Arham berkata dalam tempoh dua tahun lepas, beberapa sampel turut dihantar oleh agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta pihak dari Kedah bagi tujuan pengesahan kandungan REE.
Beliau berkata UMK sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang REE, sekali gus mengukuhkan peranan universiti itu dalam penyelidikan dan analisis unsur nadir bumi.
Beliau berkata dana yang disalurkan kepada UMK menerusi kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah serta rakan strategik telah membantu memperkukuh keupayaan universiti itu dalam bidang berkenaan.
“Pemberian dana ini menunjukkan pengiktirafan terhadap UMK sebagai antara titik rujukan bagi teknologi REE di Malaysia,” katanya.
Arham berkata UMK turut memperkukuh kolaborasi antarabangsa melalui penubuhan pusat kecemerlangan berkaitan emas dan REE menerusi penerimaan dana RM15 juta daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Kerjasama itu, katanya melibatkan beberapa negara termasuk China, Uzbekistan, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun bagi membangunkan teknologi pemprosesan dan pengasingan unsur nadir bumi sebagai satu daripada bidang kepakaran universiti.
-- BERNAMA
