Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
KOTA BHARU, 24 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempergiat kerjasama dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi penempatan latihan industri pelajar di syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata langkah itu bukan sahaja bertujuan melahirkan graduan yang mudah mendapat pekerjaan, malah membentuk minda keusahawanan dalam kalangan pelajar supaya mampu menjadi pencipta pekerjaan.
“UMK ialah universiti berteraskan keusahawanan dan kita mahu pelajar mempunyai pemikiran untuk membangunkan perniagaan serta menubuhkan syarikat sendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama industri turut diperluas ke peringkat nasional apabila syarikat-syarikat besar dari Lembah Klang dan seluruh negara terlibat dalam penempatan latihan industri pelajar.
Beliau memetik kerjasama dengan sebuah syarikat pemaju utama yang mengendalikan sebuah hotel sebagai contoh, dengan pelajar Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan UMK menerima maklum balas positif daripada pihak pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.
Mengenai pelajar antarabangsa, Arham berkata UMK merekodkan 492 pelajar antarabangsa pada tahun lepas melibatkan pelajar dari China, Indonesia, Thailand, negara-negara ASEAN serta Asia Barat.
Beliau berkata bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, UMK memperkenalkan skim ‘International Advisor’ dengan melantik alumni sebagai wakil rantau di negara asal masing-masing bagi membantu urusan kemasukan, visa serta memberikan penerangan kepada bakal pelajar.
Wakil-wakil itu juga berperanan mengendalikan sesi penerangan secara dalam talian dalam bahasa tempatan bagi memudahkan kefahaman pelajar luar negara mengenai kos sara hidup dan kehidupan kampus di Malaysia.
Mengenai statistik kebolehpasaran graduan terkini, beliau berkata data rasmi bagi tahun lepas masih belum dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, namun kadar kebolehpasaran graduan UMK sebelum ini direkodkan sebanyak 97.2 peratus pada 2024.
-- BERNAMA
