KAJANG, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) buat julung kalinya melancarkan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Edisi Khas khusus bagi Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari, berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh kemahiran kepimpinan serta melahirkan pemimpin wanita berkompetensi tinggi yang bersedia mengisi jawatan strategik di Selangor dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Program ini menyasarkan penyertaan ahli-ahli majlis wanita daripada 12 PBT dan akan dilaksanakan melalui tiga siri bengkel dalam tempoh dua bulan, merangkumi sesi latihan, perbincangan interaktif serta perkongsian bersama tokoh dan pakar berpengalaman dalam bidang kepimpinan dan tadbir urus,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta.
Anfaal berkata bengkel siri pertama memberi fokus kepada kemahiran komunikasi, keterampilan kepimpinan serta pemahaman fungsi dan peranan Ahli Majlis, manakala siri kedua menumpukan kepada kefahaman gender dan pelaksanaan belanjawan responsif gender.
Bengkel siri ketiga memfokuskan aspek pentadbiran kerajaan tempatan bagi memperkukuh kefahaman terhadap struktur, proses dan mekanisme pentadbiran yang berkesan.
“Penekanan khusus diberikan kepada pembangunan kapasiti dalam kepimpinan strategik, tadbir urus responsif gender, kefahaman proses pembuatan dasar, serta peranan Ahli Majlis dalam merancang dan melaksanakan pembangunan komuniti dan negeri yang inklusif dan mampan,” katanya.
AKW Edisi Khas Ahli Majlis dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, MPKj, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Sepang.
Menurut Anfaal, program yang disertai seramai 50 Ahli Majlis itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa kepimpinan wanita di setiap peringkat serta memperkukuh kompetensi wanita dalam pentadbiran, selaras dengan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026.
AKW Selangor merupakan program yang dilaksanakan melalui WBS untuk melatih kemahiran kepimpinan, bagi melahirkan pemimpin wanita berkompetensi tinggi yang bersedia mengisi jawatan penting di Selangor dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas penubuhannya.
Sejak dilancarkan pada September 2019, AKW telah melahirkan 345 alumni daripada empat kohort, manakala kohort lima kini sedang berlangsung melibatkan 100 penjawat awam.
-- BERNAMA
