PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Dana Inovasi Media dijangka menjadi pemangkin kepada inovasi dan memperkukuh daya saing industri media tempatan dalam menghadapi landskap digital yang semakin dinamik, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Beliau berkata industri media kini melalui fasa perubahan pesat susulan perkembangan teknologi digital, perubahan cara masyarakat mendapatkan maklumat dan tekanan terhadap model perniagaan media tradisional.
“Dalam persekitaran baharu ini, organisasi dan pengamal media perlu terus menyesuaikan diri, berinovasi dan memanfaatkan teknologi terkini bagi memastikan kandungan yang dihasilkan kekal relevan, berkualiti serta dipercayai.
“Kerajaan MADANI memahami cabaran yang dihadapi industri media. Justeru, Dana Inovasi Media diperkenalkan sebagai inisiatif strategik bagi menyokong usaha transformasi dan inovasi dalam industri media tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Inovasi Media Fasa 1 di sini hari ini.
Abdul Halim berkata dana berkenaan bertujuan memperkasa organisasi media untuk meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan, di samping memperkukuh keupayaan menghadapi landskap media yang semakin mencabar.
Beliau berkata empat skop utama ditawarkan melalui pembiayaan dana berkenaan, iaitu latihan pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta kemudahan sokongan, selain penyelidikan dan pembangunan kandungan.
Sebanyak 34 daripada 50 organisasi media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan dipilih sebagai penerima selepas melalui proses penilaian yang teliti dan menyeluruh berdasarkan cadangan projek yang dikemukakan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pihaknya bersyukur atas kelulusan permohonan bagi mendapatkan dana berkenaan, yang akan digunakan bagi melaksanakan perancangan melengkapkan bilik berita, khususnya Jabatan Pengarang, dengan elemen kecerdasan buatan (AI) yang sebelum ini dijalankan secara berperingkat berikutan kos tinggi.
“Apabila Kementerian Komunikasi menawarkan dana ini, kami merebut peluang untuk menggunakannya di Jabatan Pengarang merangkumi perkhidmatan wires, TV (televisyen), radio, media digital serta portal berita termasuk pembangunan aplikasi mudah alih sendiri,” katanya.
Nur-ul Afida berkata dana itu dapat membantu menggerakkan perancangan agensi itu ke arah memperkukuh keupayaan bilik berita dengan elemen AI.
Beliau berkata Bernama juga akan memanfaatkan dana berkenaan untuk melatih petugas media dengan kemahiran terkini dalam bidang digital bagi memastikan mereka sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa.
“Ini akan membantu wartawan dan petugas media untuk kekal relevan serta seiring dengan perubahan dalam industri media,” katanya.
-- BERNAMA
