SUKAN

MASTERS INDONESIA: TANG JIE-EE WEI MARA KE SUKU AKHIR

22/01/2026 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke saingan suku akhir selepas menewaskan pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai pada pusingan kedua Masters Indonesia 2026 di Jakarta hari ini.

Juara dunia itu mengekalkan prestasi mantap dan menoktahkan kemenangan 21-12, 21-18 dalam tempoh 35 minit di Istora Senayan.

Menanti gandingan ranking keempat dunia itu di suku akhir ialah pasangan Indonesia, Hee Yong Kai Terry-Gloria Emanuelle Widjaja, atau Jesper Toft-Amalie Magelund dari Denmark.

Bagaimanapun, keputusan positif tidak berpihak kepada beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, yang tewas kepada pilihan kelima kejohanan dari Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Mohd Azriyn-Wee Kiong membuka perlawanan dengan menang 21-19 set pertama, sebelum tewas 16-21 dan 17-21.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan