AM

KBS RANGKA PERSIAPAN TIGA FASA, PERTINGKAT PRESTASI ATLET KEBANGSAAN

22/01/2026 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memperkukuh pembangunan atlet kebangsaan melalui persiapan berprestasi tinggi yang dilaksanakan secara berfasa bermula Januari ini hingga penganjuran Sukan SEA 2027 yang dijadual pada September.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata fasa pertama daripada tiga fasa utama itu akan memberi tumpuan kepada pemilihan serta mengenal pasti atlet berpotensi selain penyediaan sokongan latihan mengikut keperluan prestasi atlet berkenaan.

“Fasa kedua pula menekankan pemerkasaan dan peningkatan prestasi melalui latihan berintensiti tinggi sebelum memasuki fasa ketiga yang melibatkan latihan sepenuh masa secara intensif bagi memastikan kesiapsiagaan optimum,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu rancangan KBS bagi memastikan prestasi dan pencapaian atlet negara terus meningkat khususnya pada acara lebih besar seperti Sukan Olimpik.

Dr Mohammed Taufiq berkata pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan SEA tahun lepas yang menyaksikan kutipan 231 pingat, melepasi sasaran asal 200 pingat, menjadi asas kukuh untuk merangka strategi pembangunan atlet yang lebih berkesan.

Selain aspek latihan fizikal, beliau berkata KBS turut memberi penekanan kepada kesejahteraan mental atlet sebagai elemen penting dalam membina prestasi berterusan.

Beliau menjelaskan bahawa barisan atlet kebangsaan juga dilengkapkan dengan program pemerkasaan mental bagi memastikan mereka kekal fokus, disiplin dan mempunyai semangat juang tinggi ketika bertanding.

“Sehubungan itu, KBS menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan atlet ini berjuang bersungguh-sungguh membawa nama negara dan mengharumkan nama negara serta rakyat Malaysia keseluruhannya,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Puah berhubung kedudukan industri e-sukan Malaysia berbanding negara lain, Dr Mohammed Taufiq berkata industri e-sukan negara terus berkembang dan Malaysia dilihat sebagai kuasa baharu dalam landskap sukan Asia Tenggara.

“Menurut Games Market Report Malaysia 2024, pasaran keseluruhan permainan video di Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada 2024 dengan nilai hasil mencecah USD 712 juta dan dijangka meningkat kepada USD 824 juta menjelang 2028,” katanya sambil menambah KBS akan terus memperkasa program Rakan Muda untuk melahirkan belia berpotensi melalui penglibatan dalam e-sukan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan