KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan yang dijangka dimuktamadkan tahun ini bukanlah instrumen untuk menyelesaikan pertindihan kawasan, sebaliknya satu kerangka bagi memastikan perairan itu kekal sebagai laluan perdagangan yang selamat, bebas dan aman untuk digunakan semua pihak, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata pertindihan kawasan perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala, manakala COC berperanan menetapkan prinsip tatalaku dan langkah membina keyakinan bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan.
“Negara kita, Malaysia, merupakan country coordinator bersama China. Kita berusaha dan telah menjalankan apa yang dikenali sebagai Rapid Discussion Group serta Jawatankuasa Joint Working Group on COC.
“Jadi saya yakin banyak terma-terma dalam COC telah mendapat persetujuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai perkembangan terkini rundingan COC di Laut China Selatan, termasuk peranan Malaysia, kedudukan keselamatan di perairan Batu Puteh dan langkah kerajaan menanganinya.
Mengulas lanjut, beliau berkata ASEAN melihat dua instrumen sebagai asas bersama dalam mengurus Laut China Selatan iaitu Document of Conduct yang diwujudkan pada 2002 dan rundingan ke arah memuktamadkan COC.
Menurutnya, antara komponen utama kedua-dua dokumen berkenaan ialah prinsip serta objektif tatalaku pihak terlibat di Laut China Selatan, selain langkah membina keyakinan (confidence building measures) dan pendekatan kawalan selamat (safe restraint) bagi memastikan tiada tindakan yang mencetuskan ketegangan.
Sementara itu, Mohamad berkata latihan ketenteraan di Laut China Selatan akan terus dilaksanakan secara berkala melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala, tetap tidak akan dijadikan tindakan provokasi terhadap mana-mana negara kerana kestabilan perairan serantau kekal sebagai keutamaan negara maritim.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kemungkinan mengadakan latihan di perairan tersebut, namun ia bukan perkara baharu, tidak tertumpu kepada satu negara sahaja, dan turut melibatkan operasi laut serta udara termasuk latihan bersama mengikut keperluan.
“Melaksanakan latihan dengan satu negara untuk menunjukkan provokasi kepada negara lain bukan agenda kita. Kita memerlukan keadaan aman di perairan kita,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai hala tuju Malaysia sekiranya latihan ketenteraan diadakan di perairan berkenaan serta tindakan kerajaan menangani pencerobohan kapal, selain sama ada Malaysia menetapkan garis merah (red line) dalam rundingan COC.
Mengenai rundingan COC Laut China Selatan, Mohamad berkata proses itu telah mencapai kemajuan ketara dengan hampir 70 peratus kandungan berjaya diselesaikan, namun memerlukan perundingan teliti bagi memastikan kedaulatan negara tidak terjejas.
-- BERNAMA
